Malaysia Dateline

Takiyuddin takutkan rakyat sokong petisyen tamatkan darurat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan seolah-olah cuba mendiamkan bantahan orang ramai terhadap proklamasi darurat apabila mengatakan penubuhan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, adalah tidak berdasarkan undang-undang.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, Takiyuddin sengaja mengeluarkan kenyataan sedemikian sebagai usaha menakutkan dan menghalang mereka yang ingin menandatangani petisyen menyokong penamatan darurat.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan, menteri Pas itu juga memberi gambaran bahawa mereka yang tidak mempunyai kuasa tidak layak bersuara dan membantah proklamasi darurat.

“Dia (Takiyuddin) menyatakan jawatankuasa ini tiada kuasa. Maka kalau tiada kuasa lebih baik tidak payah bersuara. Ini menunjukkan sikap angkuh dan langsung tidak demokratik oleh menteri Perikatan Nasional (PN) yang bersama dengan Pas.

“Dulunya mereka mempertahankan demokrasi dan hak rakyat. Tapi sekarang kalau kamu tiada kuasa, kamu diam. Yang ada kuasa saja boleh bersuara.

“Kita tidak ditubuhkan oleh kerajaan tetapi mengatakan kita tiada kuasa ialah satu sikap memperlekehkan rakyat,” tegasnya dalam sidang media di pejabat Parlimen Shah Alam hari ini.

Khalid dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin mendakwa jawatankuasa yang dipengerusikan Khalid tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang berhubung cadangan penamatan proklamasi darurat.

Katanya, biarpun jawatankuasa itu berjaya mengumpul seberapa banyak tandatangan sekalipun, tidak boleh mengubah ketetapan yang diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

Ini kerana katanya, dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, hanya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang mempunyai autoriti menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, sama ada darurat ingin ditamatkan lebih awal berbanding bulan Ogos atau ditamatkan Ogos.

Pada masa sama, Khalid menegaskan bahawa kenyataan Takiyuddin secara terang-terangan mengarahkan Agong agar hanya mendengar keputusan jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan, dan bukannya pendapat jawatankuasa lain.

Tambahnya, walaupun terdapat jawatankuasa khas di bawah kerajaan, namun tidak semestinya rakyat perlu mematuhi kehendak pemerintah kerana rakyat berhak bersuara termasuk melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jawatan Kuasa Penamatan Proklamasi Darurat pada 12 Mac lalu melancarkan laman sesawang #TamatDarurat sebagai kempen untuk memudahkan pihak yang mahu darurat ditamatkan lebih awal dengan menandatangani petisyen secara atas talian.

Jawatankuasa itu berperanan untuk mengumpul tandatangan daripada orang ramai dijangka sehingga Ramadhan pada 13 April ini sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jawatankuasa tersebut dianggotai seramai 23 ahli politik pembangkang iaitu Ahli Parlimen Sepang, Mohammad Hanipa Maidin (AMANAH); Senator, Aiman Athirah Sabu (AMANAH); Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (PKR); Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah (PKR); bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (PKR); Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching (DAP); Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (DAP); Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman (Warisan) dan Datuk Marzuki Yahya dari Pejuang.

Antara lain, jawatankuasa itu turut dianggotai beberapa profesional dan aktivis iaitu Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang; Datuk Seri Ustadz Abdul Ghani Samsudin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Jefri Md. Nor; Norman Goh; Khairi Zulfadhli; Mior Nor Haidir Mutalib Uthman; V. Raidu; Siti Rahayu Baharin; Muhammad Rafique; Tharmelinggem Pillai dan Dr. Thanussha Francis Xavier.