Malaysia Dateline

‘Takiyuddin tempelak kenyataan istana dengan biadab sekali’

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur kebiadaban Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin yang dianggap masih bertikam lidah berhubung titah Yang di-Pertuan Agong untuk membuka segera sidang Parlimen.

“Kerajaan PN menguar-uarkan tidak boleh sidang Parlimen kerana darurat. Maka, istana menjelaskan Parlimen masih boleh bersidang dan ianya ditempelak oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri secara biadab sekali.

“Dalam kaitan dengan Parlimen, menteri Takiyuddin masih nak bersilat dan bertikam lidah dengan cara yang paling lemah dan hambar iaitu Tuanku tak menetapkan tarikh.

“Selalunya masyarakat Malaysia dalam mengulas kenyataan raja, kita akan mengatakan kami junjung titah dan kalau pun ada berbeza pendapat, kita akan cuba mengemukakan pandangan kepada Agong tentang keadaan sebaliknya. Ini tidak, terus ditolaknya,” tegasnya dalam siaran langsung di Facebooknya semalam.

Anwar berkata, bagi orang yang waras dan siuman, mereka pasti memahami bahawa istana terpaksa menyuarakan titah kerana keluhan masyarakat dan pandangan majoriti pimpinan politik yang menuntut supaya darurat dihentikan.

Beliau turut menegur kedegilan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Kabinetnya yang enggan menurut titah Yang di-Pertuan Agong.

“Perdana Menteri nampak berkeras dan berdegil. Kamu tidak ada keabsahan dan kamu hilang kepercayaan, sepatutnya kamu tunduk kepada tuntutan Perlembagaan dan titah nasihat Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong untuk adakan Parlimen.

“Kalau kamu enggan, maka secara terhormat kamu harus undur dan letak jawatan. Itu pendirian PH yang saya percaya didukung Ahli Parlimen dan rakyat negara kita,” katanya lagi.