Takiyuddin tidak perlu bodek PM untuk elak disiasat, kata Sayuti

Takiyuddin tidak perlu bodek PM untuk elak disiasat, kata Sayuti
Datuk Takiyuddin Hassan

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan diminta tidak mengambil pendekatan membodek Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melindungi beliau dari disiasat pihak berkuasa.

Penulis politik, Mohd Sayuti Omar dalam tulisannya berkata, jikapun mahu melindungi beliau dari siasatan pihak berkuasa, tidak perlulah beliau sampai membodek.

“Kalaupun Takiyuddin nak bodek Dr mahathir sebagai batas untuk beliau tidak disiasat oleh pihak berkuasa kerajaan PH, dengan mengharap Dr Mahathir menjadi melindunginya, tidakkan begitu dangkal sekali cara bodekannya,” tulis Sayuti dalam facebook beliau.

Harapan untuk heret Pas sudah berakhir, kata Sayuti Omar.

Sayuti Omar

Takiyuddin dalam kenyataannya berkata, kesemua 18 ahli parlimennya tidak akan sokong undi tidak percaya untuk singkirkan Dr Mahathir sebagai PM.

Sedangkan, katanya, tidak ada sebarang sebab untuk mana-mana pihak membuat undi tidak percaya terhadap PM.

“Ada dengar khabar Takiyuddin kini sedikit terdesak?” kata Sayuti.

Beliau mempersoalkan, bila masa pula ada cadangan untuk mengadakan undi tidak percaya untuk singkir Dr Mahathir?

“Itu teori hantu. Kalau pun nak layan mimpi, tengoklah mimpi itu sejauh mana munasabah dan logiknya. Kalau mimpi siang hari hendak diambil kira juga sebagai petunjuk, parahlah,” kata Sayuti kepada ahli parlimen Kota Bharu itu.

Bagi beliau, kalau benar Pas hendak pertahankan Dr Mahathir sebagai PM, parti itu hendaklah menyertai PH, menjadi sebahagian komponennya.

“Cara begini lebih afdal daripada membodek cara itu. Cara Takiyuddin nak buat itu samalah seperti letak Dr Mahathir dalam legel (bekas besar seperti culvert) kemudian palu di luar.

“Bengeng, berdengung dan pening orang itu nanti,” katanya.

Bagi Sayuti, “Dr Mahathir bukan kumbang lilin yang dibungkus atas tin susu yang kita jadikan sebagai radio untuk menghibur di zaman bucah dahulu.”