Malaysia Dateline

Takkan pemimpin kerajaan gagal mahu ketuai semula kerajaan, tanya PKR

PKR mempertikaikan usaha sesetengah pihak untuk melantik anggota kabinet Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang terbukti gagal bagi membentuk kabinet baharu kerajaan Malaysia.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, anggota-anggota dari kabinet TSMY ini bukan sahaja telah terbukti gagal dalam menguruskan dan menangani pandemik yang melanda negara bahkan gagal membawa negara dan rakyat keluar dari kemelut ekonomi yang menghimpit lagi kritikal ini.

“Khabar yang tidak enak bertiup dengan pantas di portal-portal media bahawa ada usaha dari pihak tertentu untuk mencalonkan nama-nama dari anggota kabinet TSMY sebagai calon untuk kerusi Perdana Menteri.

“KEADILAN berpandangan bahawa adalah satu perkara yang akan membinasakan dan menyedihkan seluruh rakyat Malaysia sekiranya anggota-anggota dari kabinet kerajaan yang nyata telah gagal dan tidak berfungsi ini diberikan peluang sekali lagi untuk menerajui negara sekaligus menyambung kehancuran dan porak-peranda didalam negara sekarang.

“Lebih buruk dan teruk lagi anggota-anggota kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri yang baharu dilantik ini telah jelas bersekongkol dan memilih untuk mempertahankan Tan Sri Muhyiddin tatkala kerajaan memilih untuk berbentur lalu menderhaka kepada DYMM Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu,” kata beliau berikutan khabar angin timbalan perdana menteri yang menguruskan Covid-19 dan Majlis Keselamatan Negara, Datuk Seri Ismail Sabri akan dilantik sebagai perdana menteri bagi menggantikan Mahiaddin.

Justeru itu, katanya, PKR menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya usaha-usaha licik pihak yang bobrok ini untuk terus tidak segan silu berhempas pulas mempertahankan dan berpaut kepada jawatan dan kuasa mereka.

“KEADILAN sangat faham dan mengerti dengan situasi kritikal yang melanda rakyat dan negara serta ingin memberi ingatan bahawa rakyat kini sangat terdesak untuk mengimpikan serta melihat satu kerajaan dan pimpinan baharu bagi memulihkan keyakinan mereka bahawa Malaysia mampu keluar dari wabak pandemik serta kemelut ekonomi yang tidak berkesudahan ini,” kata beliau dalam kenyataannya petang ini.