Malaysia Dateline

Takkan sempadan kawasan pilihan raya jadi keutamaan jika menang 2/3

Tekad Pas untuk membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya jika mendapat majoriti dua pertiga dikecam kerana ia bukan sepatutnya menjadi keutamaan bagi sebuah parti Islam seperti Pas.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, sepatutnya Pas berusaha untuk mensyahadahkan Perlembagaan Malaysia selaras dengan perjuangan Islam yang dibawa Pas.

“Bila hangpa dapat majoriti 2/3, pi pindalah Perlembagaan dari yang biasa dinaratifkan ia adalah Perlembagaan Tok Reid kepada Perlembagaan Islam dan Malaysia diisytiharkan sebagai Negara Islam!

“Hangpa pi ‘shahadahkan lah’ Artikel 4 tu yang kata Perlembagaan itu adalah hukum tertinggi dalam negara -the supreme law of the land!” kata Hanipa menyindir Pas.

Keratan berita kenyataan khairudin Takiri

Bagi beliau, ramai penyokong Pas yang mahu melihat pelaksanaan RUU 355 bukannya mengekalkan cabutan nombor ekor dari lapan ke 22 kali.

“Ramai tu yang dah tak sabaq nak lihat cabutan khas nombor ekor @ JUDI berubah dari 8 ke 22 ke-355 (negatif 355).

“Tak caya cuba hangpa pi tanya para penyokong di Padang Merbuk yang berjersi ungu dulu tu!” kata Hanipa merujuk kepada perhimpunan menyokong RUU355 yang dianjurkan oleh Pas di Padang Merbok ketika Pas menjadi pembangkang dahulu.

Hanipa mengulas kenyataan seorang Menteri dari Pas, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang berkata, Pas mahu membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya jika mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen nanti.

Menjadi ucapan biasa pemimpin Pas selama ini yang mahu Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang mematuhi kehendak Islam.

Ini kerana, bagi pemimpin Pas, Perlembagaan Persekutuan sekarang yang disusun oleh Suruhanjaya Reid bertentangan dengan Islam dan perlu di’syahadah’kan.