Malaysia Dateline

Taklimat khas SPRM bersama jemaah menteri esok, kata Salahuddin

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mengadakan satu taklimat khas bersama barisan Kabinet serta pegawai tinggi semua kementerian, Selasa (esok),

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata beliau difahamkan taklimat yang dijangka diadakan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 9.30 pagi itu, juga akan melibatkan setiausaha politik serta setiausaha kanan setiap kementerian.

“Taklimat ini merupakan agenda yang bukan sekadar untuk mengingatkan kami agar tidak terlibat langsung dengan rasuah tapi juga panduan sebagai menteri,” katanya perti dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Sungai Manik serta Jamuan Aidilfitri di Arena Square Chenderong Balai dekat sini hari ini.

Pada sidang media kemudiannya, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara (AMANAH) menjelaskan panduan dimaksudkannya itu termasuk kuasa seorang menteri untuk membantu kerajaan memerangi rasuah sehingga ke peringkat akar umbi.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) ingatkan kami setiap kali mesyuarat agar Kabinet lebih berani dan pantas memberikan yang terbaik kepada rakyat tanpa apa-apa halangan.

“Ia termasuklah ciri-ciri yang boleh dikategorikan berlakunya amalan dan budaya rasuah (yang perlu dibanteras) dalam pentadbiran di bawah kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan SPRM bagi menyelesaikan isu rasuah dalam kalangan pegawai dan kakitangan kementeriannya.

“Pintu pejabat kementerian sentiasa dibuka seluas-luasnya bagi membantu siasatan jika terdapat penyelewengan membabitkan kakitangan kementerian dan agensi saya demi seluruh kebaikan rakyat,” katanya.

Beliau mengulas rampasan 3,390 beg baja padi bernilai RM180,534 oleh SPRM yang diselewengkan di sebuah kilang beras di Muar, Johor pada Jumaat lalu.

Baja berkenaan dibekalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menerusi kontrak kerajaan melalui Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan.