Malaysia Dateline

Takrifan ‘ghairah’ tidak pernah wujud dalam gimnastik dan gimrama

Tanggapan Kerajaan Terengganu bahawa kemahiran dan teknik yang ditonjolkan dalam sukan gimnastik dan gimrama sebagai aksi yang boleh mendatangkan ghairah kepada kaum lelaki, tidak harus diterima.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata takrifan ‘ghairah’ tidak pernah wujud dalam kedua-dua sukan tersebut, malah ia tidak seharusnya dijadikan asas dalam dasar pembangunan sukan.

Justeru itu, beliau berkata, untuk beberapa jenis sukan tertentu yang secara asasinya menampilkan pemakaian sedemikian rupa, adalah terpulang kepada individu yang terlibat dalam sukan tersebut.

“Terpulang kepada mereka (atlet) untuk mempraktikkannya atau tidak, selagi tidak menyalahi peraturan sukan antarabangsa atau boleh menyebabkan risiko keselamatan kepada mereka.

“Kerisauan Kerajaan Terengganu terhadap cara pemakaian atlet gimnastik wanita dan gimrama ini telah merisikokan masa hadapan atlet wanita, yang berpotensi mengharumkan nama negara di pentas sukan.

“Sukan adalah pentas untuk para atlet negara mempamerkan disiplin diri dan semangat kesukanan yang tinggi, demi cita-cita mengibarkan Jalur Gemilang di persada dunia,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Shapawi mengeluarkan kenyataan pada hari ini susulan Kerajaan Terengganu menyatakan kesediaannya untuk menarik diri dalam dua bentuk sukan tersebut, kerana tuntutan yang perlu dipatuhi atlet bercanggah dengan garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah pada semalam berkata, keputusan itu diambil kerana berdepan halangan dalam soal pakaian patuh syariah yang bercanggah peraturan ditetapkan persatuan atau badan induk sukan berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi berkata, jika individu tersebut menganggap pemakaian tersebut menyalahi syariah, maka individu itu mempunyai pilihan untuk tidak terlibat dalam sukan tersebut walau setinggi mana minat dan bakat mereka dalam sukan berkenaan.

“Atau pun beliau boleh berkompromi dan memakai pakaian yang mengikuti syariah jika tiada halangan dari segi garis panduan.

“Saya berpandangan, adalah tidak wajar dibangkitkan isu pemakaian tersebut dan mungkin amat malang sekali jika cadangan kerajaan itu juga akan terpakai kepada yang bukan beragama Islam. Ini kerana, sukan tidak patut digunakan bagi menyekat kebebasan mereka yang ingin menceburi bidang berkenaan.

“Kami menghargai usaha kerajaan negeri mencari solusi pemakaian sukan yang bersesuaian kepada masyarakat Islam seperti mana tuntutan syariah. Saya akui bahawa agama merupakan aspek penting di konteks Malaysia, tetapi tidak wajarlah untuk kerajaan Terengganu mengenakan polisi ini kerana isu pemakaian adalah hak peribadi setiap individu,” ujarnya.