Malaysia Dateline

Taksub bomoh orang ramai kerugian RM2.7 juta

Ketaksuban terhadap amalan tahyul dan syirik menyebabkan orang ramai rugi RM2.7 juta kerana ditipu bomoh sejak Januari hingga Mei tahun ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman berkata sikap mudah percaya dengan bomoh dan tamak sebagai punca berlakunya penipuan “puluhan ribu ringgit.”

“Kebanyakan mangsa terpedaya dengan dorongan suspek yang menggunakan pelbagai taktik bagi memancing mereka kononnya mampu membuang sial, mengubati penyakit serta tidak kurang juga percaya ramalan bomoh untuk memenangi nombor ekor,” kata Datuk Chong Mun Ping dalam kenyataan.

Bagi lima bulan pertama, ketua penolong pengarah siasatan jenayah dan komplot pemalsuan itu berkata sebanyak 64 kes melibatkan mangsa dari pelbagai agama dan kepercayaan direkodkan.

Katanya, Johor paling tinggi dengan 15 kes, manakala Selangor mencatatkan jumlah kerugian tertinggi sebanyak RM423,585.

Chong berkata pihaknya yakin banyak lagi kes penipuan berlaku dan menggesa orang ramai tampil dan tidak malu membuat laporan jika ditipu.

Tahun lalu, sebanyak RM6.10 juta kerugian direkodkan melibatkan 156 kes dengan 53 tangkapan.