Taktik perdaya peniaga tak berjaya, pelanggan kantoi beli burger RM9 tapi bayar 9 sen

Oleh KIM SYAZIE

Taktik seorang pelanggan mahu memperdaya peniaga burger dengan menipu bayaran melalui kod QR tidak berjaya.

Bukan sahaja gagal, bahkan pelanggan itu kantoi terang-terangan di hadapan peniaga terbabit apabila mesin kod QR menyebut jumlah yang dibayar.

Menurut cerita peniaga itu di Facebook, pelanggan tersebut dikatakan memesan sebiji burger berharga RM9, namun dia cuba menipu transaksi dengan membayar 9 sen sahaja.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika waktu kemuncak di mana pelanggan itu beranggapan perbuatannya tidak akan terbongkar.

“Ikutkan gerai saya dah guna sistem Sound Box. Tapi masih ada yg cuba nak menipu terutamanya pada waktu kemuncak dan ‘customer’ ramai.

“Jumlah yang dia beli RM9. Tapi dia scan 9 sen sahaja. Bila ditanya dia cakap dia scan RM9, saya tunjuk resit yang tertera dekat telefon saya. Baru dia mengaku.” katanya memetik laporan Kosmo!.

Peniaga itu juga sempat menasihatkan individu itu supaya tidak mengulanginya di gerai orang lain.

“Saya cuba nasihatkan supaya tidak lagi berulang benda yang sama dekat gerai orang lain.

“Untuk hari ni, jumlah yang selebihnya tu saya belanja agar suatu hari nanti dia diberi petunjuk oleh Allah SWT,” katanya lagi.

Baca juga: Wanita kesal tak dapat tengok ayah buat kali terakhir, dihalang ibu mentua kerana masih berpantang