Takut apa perjuangkan Melayu dan Islam, soal Rais Yatim

Takut apa perjuangkan Melayu dan Islam, soal Rais Yatim

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengisi semangat Malaysia Baharu dengan menjuarai gelombang keIslaman dan keMelayuan.

Menurutnya, PH tidak perlu ‘takut’ untuk memperkasakan agenda Melayu pada masa ini memandangkan usaha tersebut tidak menzalimi atau menafikan hak kaum lain.

“Saya berharap supaya PH menjuarai gelombang keIslaman dan keMelayuan. Beranikah kita dengan DAP yang begitu banyak kerusinya. PKR pula dengan ‘kelambu’ besar kerusi Parlimen yang dimenanginya.

“Ini soal pengisian dalaman dalam memperjuangkan Melayu itu. Di atas kertas cantik memperjuangkan Melayu dan Islam serta masyarakat majmuk. Tiada soal,” katanya dalam wawancara eksklusif Malaysia Dateline di pejabat dekat Jalan Tuanku Abdul Rahman, 11 Mac lalu.

Tan Sri Dr Rais Yatim

Menyedari terlalu awal untuk menilai iltizam kerajaan PH untuk memperjuangkan Melayu dan Islam dalam konteks masyarakat majmuk, Dr Rais berkata, langkah awalan sekurang-kurangnya perlu ada.

“Nak gerakkan (agenda memperjuangkan Melayu)? Mungkin baru 10 bulan. Tapi buat kata orang, tidak berbuah sekalipun, biarlah bertunas dulu.

“Sayangnya, buat masa ini, tidak nampak lagi apa yang bertunas. Tentang hal berkaitan pemerkasaan Melayu nampak kita segan dan takut.

“Akibatnya, Umno dan Pas akan muncul (menjuarai isu kepentingan Melayu dan Islam). Mereka akan jadi wira. Kita takut? Takut apa?” luah Dr Rais lagi.

Rais mengingatkan kerajaan PH agar tidak ‘takut’ memperkasakan Melayu.