Takut beri teguran punca dadah mudah berleluasa

Takut beri teguran punca dadah mudah berleluasa

Kesedaran masyarakat penting bukan sekadar bergantung pada agensi kerajaan dalam membanteras gejala penyalahgunaan najis dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, masyarakat juga bertanggunggjawab terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka.

“Perlu ada usaha yang kolektif dan tuntas daripada masyarakat dalam membasmi gejala dadah. Usaha ini bukan hanya terpikul di bahu agensi kerajaan semata-mata, tetapi masyarakat punya peranan yang lebih besar.

“Andai kata masyarakat tidak disedarkan bahawa mereka juga bertanggunggjawab terhadap apa yang berlaku disekeliling mereka, saya kira gejala tidak baik seperti ini akan terus berleluasa,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Karnival Gempak Jelajah Kesedaran anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Perak di Dataran Kedamaian Taman Tasik Taiping baru-baru ini.

Hasnul yang juga Pengerusi PEMADAM negeri juga mengingatkan pentingnya perubahan sikap dalam kalangan golongan muda.

“Jangan sesekali takut untuk memberi teguran kerana ketakutan itu menyebabkan gejala tidak sihat itu mudah berleluasa.

“Inshaallah, karnival ini akan diteruskan ke beberapa daerah di negeri Perak. Ayuh terus berusaha membasmi gejala dadah,” ujar Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak itu lagi.