Takut diguling pembangkang, Najib dakwa simpan ‘derma’ Arab untuk kecemasan

Oleh MAISARAH AISYA

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan dalam satu kenyataan yang dibaca semula bahawa beliau menyimpan sebahagian daripada dana yang didakwa derma dari kerajaan diraja Arab Saudi.

Derma yang diberikan pada 2013 itu dikatakan adalah untuk menghalang cubaan pembangkang menggulingkan kerajaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada ketika itu ketua pembangkang, mendakwa mempunyai sokongan cukup daripada anggota parlimen untuk menukar kerajaan.

Dakwaan ini keluar pada pilihan raya umum ke-12 pada 2009 selepas Barisan Nasional hilang penguasaan dua pertiga untuk kali pertama dalam sejarah.

Memetik MalaysiaKini, Najib dikatakan menyimpan sebahagian daripada dana AS$681 juta.

Perkara itu didedahkan oleh Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin yang membacakan petikan kenyataan Najib yang direkodkan SPRM pada 2018.

Ini adalah semasa siasatan terhadap isu 1MDB selepas pilihan raya umum ke-14.

Nur Aida–saksi ke-49 pihak pendakwaan–membacakan kenyataan Najib kepada SPRM berkaitan aliran dana itu kepada akaun bank tertuduh pada 2013.

Kenyataan ini dibacakan ketika pemeriksaan balas timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, kira-kira AS$620 juta dimasukkan dari akaun Najib ke akaun bank Tanore Finance Corporation di Singapura pada tahun sama.

Pasukan pembelaan Najib sentiasa mendakwa bahawa dana itu bukan duit dari 1MDB tetapi daripada kerabat diraja Arab untuk tujuan politik.

“Selepas PRU13 selesai, dana itu tidak boleh dihabiskan kerana perbelanjaan sudah cukup.

“Baki selepas pilihan raya umum saya simpan sementara dalam akaun sebagai simpanan luar jangka jika ada keperluan khas. Seperti insiden 16 September 2008, insiden ahli-ahli parlimen BN dicuri, ketika pembangkang cuba membeli mereka.

“Oleh itu, saya terpaksa bersedia secara kewangan walaupun saya tidak bersetuju dengan amalan ini, kerana takut kemungkinan pembangkang cuba lagi.

“Bagaimanapun, apabila tiada pergerakan sedemikian berlaku, saya rasa ada keperluan untuk kembalikannya kepada orang yang memindahkan wang ke dalam akaun saya, iaitu seseorang yang dilantik oleh Arab Saudi, Tanore Finance Corp,” kata Nur Aida yang membaca kenyataan Najib.

Baca juga: Baru faham kenapa kena daftar Budi Madani lepas Padu, ini penjelasan Fahmi Fadzil