‘Takut kereta terendam dalam air’

‘Takut kereta terendam dalam air’

Pusat bandar Parit Buntar dinaiki air semalam selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam. Foto FB Noor Lubna

Pengkaji Ilmu Samudera, Mohd Salleh Mazukhi menasihatkan orang ramai terutama penduduk di kawasan rendah di pantai barat Semenanjung Malaysia tentang kemungkinan banjir sehingga Sabtu ini.

Menurutnya, mulai hari ini risiko tersebut berlaku ekoran kedudukan matahari sedang menghampiri Khatulistiwa dengan berada tepat di garisan pembahagi hemisfera itu pada 23 September.

“Jadi, sepanjang tempoh dari 4 September hingga 9 September memang ada risiko kenaikan air di kawasan rendah di Pantai Barat Semenanjung terutama jika bertembung dengan hujan lebat berterusan ketika air sedang pasang penuh,” jelasnya.

Pada masa sama, ujarnya, kebetulan pada tempoh tersebut bulan berada dalam fasa perigee iaitu jarak pendek antara bulan dan bumi yang mempengaruhi peningkatan paras air ketika penuh terutama pada musim air pasang besar.

Mengulas lanjut kejadian banjir kilat di Port Dickson dan Parit Buntar mulai petang semalam, Salleh berpandangan fenomena air pasang besar ekstrem atau gadang juga dipanggil air pasang Keling kemuncaknya pada 6, 7 dan 8 Oktober depan.

“Jadi, jika anda ada program di kawasan pantai pada hari-hari tersebut iaitu dari 3 Oktober hingga 8 oktober, elok juga ambil langkah berjaga-jaga dan berwaspada, takut kereta terendam dalam air.

“Dalam tempoh ini , air pasang penuh ketika petang dan awal malam (antara 5 petang hingga 9 malam, juga waktu Subuh dan awal pagi (antara 5 pagi hingga 9 pagi),” ujar pengarang buku, “Alam dan Rahsia Pasang Surut Air Laut Berdasarkan Kalendar Hijrah” yang diterbitkan pada 2013 itu lagi.

Pusat bandar Parit Buntar dinaiki air setinggi 0.8 meter kira-kira jam 7 malam semalam selepas hujan lebat berterusan mulai pukul 4 petang dan dilapor belum surut menjelang tengah malam tadi.

{loadposition myposition}

Hutan berpaya 

Dalam hal berkaitan, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kemusnahan hutan berpaya yang berfungsi sebagai kawasan limpahan banjir menjadi antara penyebab berlakunya banjir kilat.

“(Hutan berpaya) ditebus guna untuk lain-lain tujuan, Kemudian salahkan sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik,” tegasnya.

Meor Razak berpendapat pelaksanaan di peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan berkaitan pengurusan banjir tidak selari dengan dasar di peringkat Kerajaan Persekutuan yang dianggap sudah memuaskan.

“Perlu pengurusan holistik. Semua pihak berkuasa dan agensi yang berkenaan (Exco Tanah dan Sumber Asli, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Negeri, PTG, UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri), Pejabat Daerah dan Tanah dan MDK) lebih mengambil kira keuntungan sahaja,” tegasnya lagi.

CATEGORIES
TAGS