Isteri kedua kepada Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad iaitu Salwani Yusof dilaporkan meninggal dunia pada petang Isnin.
Khabar duka tersebut dikongsikan oleh kenalan bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu menerusi satu hantaran yang telah dimuat naik di akaun Facebook milik Johar Ismail.
Menurut Johar, Salwani Yusof menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pada jam 1.15 petang tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
Johar bagaimanapun tidak menyatakan punca ataupun penyakit dialami oleh wanita yang dinikahi oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu pada dua tahun lalu.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Dukacita dimaklumkan Puan Salwani Yusof, isteri Haji Khalid Samad baru kembali ke rahmatullah di HUSM pada jam 1.15 tengah hari.
“Takziah diucapkan kepada Khalid Samad dan keluarga. Semoga roh Allahyarhamah Salwani dimasukkan Allah ke dalam golongan solihin dan siddiqin,” tulis Johar.
Terdahulu, Khalid Abdul Samad menikahi Salwani pada bulan Februari 2022 selepas mendapatkan kebenaran untuk berpoligami daripada Mahkamah Tinggi Syariah.
Permohonan diluluskan pada bulan Januari di tahun sama selepas Khalid sebagai plaintif bersetuju menunaikan hak-hak isteri pertamanya iaitu Dr. Zaiton Abu Bakar.
Antara hak yang telah diberikan kepada Zaiton adalah pemilikan rumah banglo yang didiami bersama Khalid dan juga sebuah emper atau ‘penthouse’ di Shah Alam.
Khalid juga bersetuju untuk memberikan kenderaan jenis Proton X70 selain tambahan elaun iaitu kad kredit kepada defendan atau isteri pertamanya itu.
Baca juga: Isu pengampunan, Anwar ingatkan orang ramai Najib masih ada kes lain