Malaysia Dateline

Talian Kasih: PKR kritik jawapan Siti Zailah di Dewan Rakyat

Dua ahli Parlimen PKR mempertikai jawapan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Siti Zailah Mohd Yusoff, berhubung statistik panggilan diterima oleh Talian Kasih sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

Menerusi kenyataan bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Merbok Nor Azrina Surip, mereka mendakwa KPWKM gagal menjelaskan berhubung lebih 79,000 panggilan yang tidak dikategorikan oleh kementerian terbabit.

Dalam sidang Dewan Rakyat tadi, Siti Zailah memaklumkan bahawa sehingga 14 November 2020, sebanyak 159,703 panggilan melalui Talian Kasih 15999 dilaporkan termasuk aduan menerusi WhatsApp di talian yang sama.

Pecahan rekod talian dinyatakan dengan sebanyak 1847 berkaitan kanak-kanak; 2287 berkaitan keganasan rumahtangga; 467 berkaitan gelandangan; 70,177 berkaitan permohonan bantuan kebajikan; 4119 mengenai kaunseling; 661 kurang upaya dan 359 warga emas.

Bagaimanapun kedua-dua Ahli Parlimen PKR itu menyatakan keraguan apabila dicampur jumlah panggilan yang telah dikategorikan, keseluruhannya hanya berjumlah 79,917 panggilan dan bukannya 159,703 aduan.

“Ini bermakna wujudnya 79,786 panggilan lagi yang tidak dijelaskan kategorinya oleh KPWKM. Pecahan segmen panggilan ke talian ini tidak harus dilihat mengikut unjuran pecahan nombor semata-mata.

“Sebaliknya, pada setiap aduan satu kes keganasan rumahtangga, impaknya cukup besar terhadap sebuah keluarga dan kesejahteraan komuniti keseluruhannya.

“Respon balas KPWKM sangat mendukacitakan tatkala amaran dunia berkaitan keganasan rumahtangga dan khususnya keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak akan terus meningkat dalam tempoh pandemik,” katanya.

Tambah jurubicara PKR itu lagi, kegagalan KPWKM memperincikan statistik terkini membuktikan kelemahan kerajaan dalam memahami serta menangani realiti jenayah sosial yang sedang berlaku dalam masyarakat.

Kedibiliti dan komitmen Menteri KPWKM juga dipertikaikan kerana Menteri hanya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keganasan Rumahtangga bersama semua pemegang taruh setakat 17 April 2020 yang lalu.

Ini katanya, hampir tujuh bulan daripada tarikh terakhir mesyuarat tersebut, tiada sebarang tindakan pro-aktif dilakukan oleh KPWKM

“Ini adalah kekesalan dan keraguan yang cukup jelas terhadap tahap kompetensi dan kredibiliti KPWKM yang diharapkan menjadi Kementerian paling kanan dan hadapan khususnya dalam menangani isu kebajikan rakyat dan isu sosial.

“Kami menyeru agar KPWKM segera mengambil peran-tugas yang lebih efektif dalam mengendalikan mekanisme aduan, perlindungan serta relief yang wajar terhadap isu-isu sosial dalam pandemik demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.