Malaysia Dateline

Taliban takluk Afghanistan: Satu kejutan

Pada Selasa, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengumumkan garis panduan yang digambarkannya sebagai ‘Emiriah Islam’ setelah tentera Taliban menguasai Afghanistan dan ibu kota Kabul.

Beliau memulakan sidang media dengan mengucapkan tahniah kepada rakyat Afghanistan atas kemenangan Taliban dan memperoleh kemerdekaan setelah 20 tahun yang digambarkannya sebagai perjuangan, dengan menekankan bahawa mereka tidak mencari musuh atau mencetuskan konflik.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua. Mendapatkan kemerdekaan adalah hak yang sah bagi setiap negara. Ini adalah kemenangan bagi seluruh negara. Negara ini akan menjadi sebahagian daripada sejarah”.

Beliau berusaha meyakinkan rakyat Afghanistan bahawa semua orang yang berperang melawan Taliban akan dilindungi dan mengatakan bahawa gerakan itu tidak mahu mencetuskan konflik atau perang.

“Setelah 20 tahun berjuang untuk membersihkan penjajahan, ini adalah hak dan kami merasa terhormat setelah memperoleh hak ini,” tegasnya pada sidang media itu.

Zabihullah menzahirkan bahawa Taliban tidak ingin menjadikan Afghanistan sebagai medan perang.

“Pertempuran telah berakhir hari ini. Siapa pun yang telah menentang kami, diberi pengampunan, kami tidak mahu mengulangi sebarang konflik lagi,” ujar Zabihullah dengan menambah bahawa Emiriah Islam itu tidak memiliki permusuhan dengan sesiapa pun.

Beliau turut mengumumkan bahawa gerakan itu akan membentuk pemerintahan Islam yang inklusif, melindungi hak wanita menurut undang-undang Islam dan berjanji bahawa gerakan itu tidak akan membalas dendam terhadap golongan media atau rakyat Afghanistan yang bekerja dengan pasukan asing dan organisasi antarabangsa.

Presiden lari tinggalkan Afghanistan

Sebelumnya pada Ahad, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani mengulas mengenai keputusannya untuk meninggalkan negara itu setelah gerakan Taliban memasuki ibu kota Kabul, yang mencetuskan persepsi dan kritikan yang meluas.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Ghani berkata:
“Hari ini saya menghadapi pilihan yang sukar, untuk menentang tentera Taliban yang ingin memasuki istana atau meninggalkan negara berharga yang telah saya curahkan untuk melindunginya selama dua puluh tahun yang lalu. Mereka akan menghadapi kehancuran di kota Kabul, dan hasilnya akan menjadi bencana manusia yang besar berikutan tragedi ini.”

Menurutnya lagi, kota Kabul itu mempunyai populasi penduduk seramai 6 juta orang.

“Taliban berjaya mengusir saya, dan mereka di sini untuk menyerang seluruh Kabul dan rakyat Kabul. Untuk mengelakkan pertumpahan darah, saya fikir lebih baik keluar dari negara itu”.

Katanya lagi, Taliban menang dengan pedang dan senapang. Mereka sekarang bertanggungjawab untuk melindungi kehormatan, kekayaan dan harga diri rakyat Afghanistan.

“Mereka menghadapi ujian sejarah baru. Sama ada mereka akan melindungi nama dan kehormatan Afghanistan atau mereka akan melakukan sebaliknya”.

Beberapa media tempatan negara itu melaporkan bahawa Menteri Pertahanan Afghanistan, Jeneral Bismillah Mohammadi memberikan kritikan keras terhadap Presiden Ashraf Ghani dan para pegawai kanan Afghanistan yang lari dari negara itu.

Dalam Twitternya pada hari Ahad, Jeneral Bismillah berkata, “Mereka mengikat kita di belakang kita dan menjual tanah air.”

Apa yang berlaku di Afghanistan?

Setelah gerakan Taliban dengan cepat menguasai ibu kota wilayah dan memasuki Kabul, keganasan semakin meningkat di wilayah besar Afghanistan. Orang awam berisiko terjebak dalam pertempuran antara pihak yang menguasai dan berusaha melarikan diri mencari tempat yang selamat untuk berlindung.

Angka kematian terus meningkat akibat peningkatan pertempuran besar-besaran hingga misi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru agar segera menghentikan keganasan di wilayah itu.

Afghanistan berada di landasan yang menyaksikan jumlah kematian paling banyak didokumentasikan dalam setahun ini, menurut sumber PBB. Pada 13 Ogos, kira-kira 120,000 orang Afghanistan telah melarikan diri dari kawasan luar bandar dan bandar-bandar wilayah ke kawasan Kabul.

Manakala sejak awal tahun 2020, hampir 400,000 orang dipaksa keluar dari rumah mereka bergabung dengan 2.9 juta orang Afghanistan yang dipindahkan secara dalaman di seluruh negara pada akhir tahun 2020 lalu.

Dalam situasi pandemik yang masih melanda dunia, negara itu mencatatkan rekod kes Covid-19 yang masih meningkat yang mana sehingga 13 Ogos, negara ini mencatatkan lebih daripada 151,000 kes dengan 7,000 kematian.

Taliban memasuki Kabul dengan aman?

Taliban mengarahkan pasukannya dikerahkan di sekitar Kabul untuk tetap tenang memasuki ibu kota tanpa pertempuran dan membiarkan rundingan yang sedang berlangsung, meyakinkan semua penduduk bahawa mereka tidak akan membalas dendam terhadap pekerja atau yang menyokong pemerintah sebelumnya.

Jurucakap Zabihullah mengeluarkan kenyataan di laman Twitternya di mana gerakan itu mengatakan “kami memberi jaminan kepada semua bank, syarikat, tempat penginapan dan lain-lain bahawa mereka akan selamat serta dilindungi oleh Taliban dan tidak akan menyentuh atau mengganggu sesiapa pun di Kabul. Setiap orang mesti hidup dalam keadaan aman.”

Menurutnya lagi, semua orang kaya dan ahli perniagaan harus selamat di bawah perlindungan mereka.

“Tidak ada tentera Taliban yang akan dibenarkan memasuki rumah sesiapa pun atau melakukan pemeriksaan terhadap syarikat-syarikat. Emiriah Islam akan memberi mereka perlindungan mutlak dan mereka akan selamat serta tidak perlu risau,” jelasnya.

Beliau menegaskan, bahawa tidak ada orang yang telah berperang melawan gerakan itu yang harus risau kerana mereka tidak akan dikenakan tindakan.

“Orang-orang yang memerangi, kami mencadangkan agar mereka tidak melakukan apa-apa dan kami akan melindungi mereka. Mereka dapat jalani kehidupan seperti orang biasa.”

Dalam pada itu ujarnya, beliau tidak akan bertanya tentang masa lalu mereka dan siapa mereka. Taliban ingin menguasai kota dengan aman.

“Mereka tidak perlu risau. Kami adalah orang biasa dan orang-orang yang bekerja untuk pemerintahan Kabul. Jika ada tentera atau petugas kerajaan yang tidak selari, kita akan memaafkan mereka dan mereka akan menjadi saudara kita,” kata Zabihullah.

Kata jurucakap itu lagi, tentera Taliban tiba di sekitar ibu kota Afghanistan itu pada Ahad dan mengepungnya dari semua arah, tetapi mereka tidak memasukinya kerana rundingan dengan pemerintah untuk menyerahkan ibu kota Kabul tanpa pertempuran.

Seperti filem Hollywood?

Mengulas perkembangan yang terjadi di Afghanistan, Timbalan Ketua Polis Dubai, Leftenan Jeneral Dhahi Khalfan menggambarkan kejatuhan 300,000 tentera Afghanistan dalam tempoh 72 jam di hadapan tentera Taliban seperti filem Hollywood.

Status tersebut tersiar di laman Twitter rasmi Khalfan, di mana beliau berkata “Presiden Amerika Joe Biden mengatakan bahawa kita telah menubuhkan tentera rasmi 300,000 orang berbanding dengan 75,000 tentera Taliban. Tentunya tentera kita akan mempunyai kemampuan untuk mengawal semua itu.”

Khalfan berkata lagi, tetapi kejatuhan tentera 300,000 tentera Afghanistan yang terlatih dengan senjata terbaru dalam 72 jam di hadapan tentera Taliban adalah seperti filem Hollywood yang sangat baik.

“Sekiranya Amerika tidak ingin menyimpannya di Doha, itu akan berlaku. Hukuman berat ke atas Doha kerana menahan pengganas. Saya secara peribadi tahu keadaan bahawa Doha tidak dapat melaksanakan begitu tanpa persetujuan Amerika. Tidak ada negara Arab yang boleh menerima kenyataan bahawa Amerika mengatakan mereka sebagai pengganas.”

Menurutnya lagi, itulah sebabnya apa yang berlaku di Afghanistan, diserahkan dan diterima. Masalahnya hari ini ialah pembuat dasar global iaitu negara Amerika, pembohongan besarnya telah terdedah melalui media sosial.

Sebelumnya, video kenyataan Presiden Amerika mengenai kemampuan Taliban beberapa minggu sebelum mereka memasuki Kabul mencetuskan kontroversi.

Aktivis di media sosial menyebarkan video kenyataan yang dibuat oleh Joe Biden itu. Dalam video yang tular itu, seorang wartawan menyoal, “Adakah pengambilalihan Taliban di Afghanistan sekarang tidak dapat dielakkan?”

Biden menjawab, “Tidak, kerana 300,000 tentera Afghanistan yang lengkap – sama seperti tentera mana pun di dunia – dan tentera udara untuk menentang kira-kira 75,000 tentera Taliban. Ia tidak menjadikan situasi itu tidak dapat dielakkan.”

Jangan masuk rumah orang, rampas kenderaan

Mullah Muhammad Yaqoob, wakil komandan Taliban mengeluarkan arahan kepada tenteranya dalam satu pesanan audio yang disebarkan secara meluas oleh saluran gerakan itu.

“Wahai mujahidin yang dihormati, pesanan kami kepada anda semua bahawa tidak ada yang dibenarkan memasuki rumah orang terutama di Kabul dan anda tidak dibenarkan merampas kenderaan orang,” kata Mullah Muhammad Yaqoub menerusi pesanan suaranya.

Tegasnya lagi, sesiapa pun yang melanggar arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan mereka akan dianggap sebagai yang melakukan pemberontakan.

Arahan Mullah Muhammad itu dikeluarkan ketika video dan gambar tentera Taliban tersebar memasuki rumah atau menaiki kenderaan penduduk di Afghanistan, di mana bendera Taliban telah dinaikkan di ibu kota Kabul setelah gerakan itu menguasainya dalam beberapa hari ini.

Pengambilalihan yang drastik?

Dalam perkembangan lain, pada Isnin lalu, Joe Biden mengatakan bahawa kejatuhan kerajaan Afghanistan dan berkuasanya Taliban terhadap negara itu berlaku lebih cepat daripada yang dijangkakan Amerika Syarikat.

Biden memulakan ucapannya dengan mengatakan bahawa keadaan di Afghanistan terjadi sangat drastik sambil menambah bahawa pasukan keselamatan Rumah Putih akan terus memantau keadaan di Afghanistan.

Biden mengatakan bahawa beliau ingin mengingatkan bagaimana Amerika sampai di sini dan apa kepentingannya di Afghanistan.

Beliau menambah bahawa misi Amerika di Afghanistan yang telah dimulakan dua dekad yang lalu tidak seharusnya membangunkan negara atau demokrasi berpusat.

“Satu-satunya kepentingan kita yang penting di Afghanistan masih kekal seperti sekarang: mencegah berlakunya serangan pengganas ke atas tanah air Amerika.”

Biden berkata, Amerika pergi ke Afghanistan hampir 20 tahun yang lalu dengan tujuan yang jelas iaitu untuk mendapatkan orang-orang yang menyerang Amerika pada 11 September 2001, dan untuk memastikan bahawa al-Qaeda tidak dapat menggunakan Afghanistan sebagai pangkalan untuk menyerang Amerika lagi.

“Kita telah lakukannya”.

Presiden Amerika itu mengakui bahawa kejatuhan kerajaan Afghanistan dan penguasaan Taliban terhadap negara itu berlaku lebih cepat daripada yang dijangkakan hingga menyebabkan tercetusnya krisis global.

Dalam pada itu, Biden enggan berganjak daripada keputusannya untuk mengakhiri misi ketenteraan Amerika di sana, di mana negara itu berperang paling lama di Afghanistan dan menghabiskan perbelanjaan lebih daripada 1 trilion dolar.

Tidak terkecuali, beliau menyalahkan pemimpin politik dan angkatan bersenjata Afghanistan kerana tidak bertindak balas terhadap kepincangan Taliban yang membuatkan mereka kembali ditawan setelah dua dekad peperangan.

“Saya berdiri teguh di sebalik keputusan saya. Setelah 20 tahun, saya belajar dengan cara yang sukar bahawa tidak pernah ada masa yang baik untuk menarik balik tentera Amerika.”

“Itulah sebabnya kita masih di sana. Kita sudah jelas mengenai risikonya. Kita telah merancang dalam setiap keadaan luar jangka.”

 

Penulis adalah Pegawai Penyiaran dan Komunikasi Pertubuhan IKRAM Malaysia