Tamak haloba, pemilik rumah sanggup jadikan ruangan balkoni sebagai ‘bilik sewa’

Oleh KIM SYAZIE

Bagaikan lintah darat, pemilik sebuah apartmen di Shah Alam, Selangor sanggup menjadikan balkoni rumahnya sebagai bilik sewa.

Amat menyedihkan, ruangan balkoni rumah yang sempit itu hanya boleh dimuatkan dengan satu katil bujang sahaja.

Tidak cukup dengan itu, pemilik rumah berkenaan bertindak menawarkan harga yang tidak masuk akal untuk bilik sekecil itu.

Terletak berdekatan dengan institusi pengajian tinggi (IPT), ruangan balkoni itu disewakan dengan harga RM600 sebulan.

Menjadi perbincangan hangat di media sosial, iklan sewaan rumah itu dikongsikan oleh seorang lelaki menerusi satu hantaran di akaun Twitter.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pemilik rumah yang tamak haloba itu.

Ada juga individu yang menuntut pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pemilik rumah.

“Nohh, sekali matahari naik terus rentung. Gila sampai balkoni owner buat jadi bilik,” komen seorang pengguna yang terkejut dengan iklan tersebut.

“PBT kena campur tangan. Ubahsuai macam ni lepas pulak. Keselamatan macam mana, kecemasan nak lari mana? Lompat turun?.” Kongsi pengguna lain.

Setakat ini, ciapan tersebut telah mendapat sebanyak 3.4 juta tontonan dan hampir 7,000 ulang ciap dari pengguna Twitter.

Baca juga: Tular video berpegangan tangan dengan kekasih, Shila Amzah dah berkahwin?