Taman Botani Perdana dilengkapi elemen penyelidikan, pendidikan dan konservasi

Taman Botani Perdana dilengkapi elemen penyelidikan, pendidikan dan konservasi
Tun Dr Mahathir Mohamad menamam pokok Kembang Semangkok dalam Program Transxformasi Taman Botani Perdana.

Taman Botani Perdana di sini, kini lengkap dengan elemen penyelidikan, pendidikan dan konservasi dengan perasmian Kompleks Pelawat dan Taman Etnobotani oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Dr Mahathir meluangkan masa hampir 1 jam melawati Kompleks Pelawat yang menempatkan beberapa bangunan terdiri daripada bangunan herbarium (penyelidikan), Pusat Interpetif (Pendidikan), Taman Etnobotani (Konservasi), dan Pusat Interpretasi, termasuk rumah kartun dan kedai cenderahati.

Dalam majlis tersebut, beliau turut melakukan simbolik menanam pokok kembang semangkuk bagi mempromosi tanaman hijau sekaligus merasmikan fasa terakhir bagi fasa kedua dalam program Transformasi Taman Botani Perdana.

Beliau sempat beramah mesra dengan pelajar sekolah rendah dari Sekolah Kebangsaan Teressa Brickfield, SK Lelaki Jalan Batu, dan SK Hishamuddin.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Dahlan; dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Dalam majlis sama, Noor Hisham berkata, untuk menjadi sebuah taman botani yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, taman itu perlu dilengkapkan dengan elemen penyelidikan, pendidikan dan konservasi yang menyeluruh.

Justeru katanya, pihaknya telah membina sebuah bangunan Herbarium dengan mendapat khidmat nasihat daripada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk melaksanakan kerja-kerja penyelidikan dalam bidang botani.

“Untuk memenuhi elemen pendidikan pula, satu pusat interpretif telah dibina melalui kerjasama pihak Universiti Putra Malaysia dalam usaha memberikan info secara ‘self-guided’ kepada pengunjung taman termasuk info berkaitan taman dan tumbuh-tumbuhan.

“Taman Etnobotani (Konservasi) Dalam usaha melaksanakan kerja-kerja konservasi, menghimpunkan koleksi tumbuhan yang mempunyai hubungan dengan manusia melibatkan pelbagai aspek termasuk perubatan, sumber makanan, ekonomi dan kebudayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Kompleks Pelawat dan Taman Etnobotani, di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Noor Hisham turut memaklumkan, fasa ketiga Transformasi Taman Botani bakal melibatkan cadangan membina Taman Orkid dan Taman Bunga Raya bagi tahun 2019-2022.

Sementara itu, beliau berkata, kos keseluruhan melibatkan pengubahsuaian fasa 1 dan fasa 2 Taman Botani dianggarkan bernilai RM80 Juta yang mana pembinaan kompleks tersebut telah menunjukkan purata peningkatan pengunjung yang tinggi berbanding sebelumnya.

Sesi ramah mesra dan fotografi Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Teressa Brickfield, SK Lelaki Jalan Batu dan SK Hishamuddin hari ini.