Taman rekreasi di Taman Rimba Kiara perlu dikekalkan, kata Hannah Yeoh

Taman rekreasi di Taman Rimba Kiara perlu dikekalkan, kata Hannah Yeoh

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berpendapat taman rekreasi di Taman Rimba Kiara tidak wajar diganggu untuk projek pembangunan di kawasan berkenaan yang kini di bawah kendalian Menteri Wilayah, Khalid Samad.

Katanya, pihaknya sama sekali tidak membantah penduduk rumah panjang untuk mendapatkan penempatan baharu mereka, tetapi projek itu tidak wajar diperluas sehingga ke dalam kawasan taman.

“Projek pambanguan itu hanya boleh dibina di atas tanah 4.4 ekar itu sahaja.

“Kita kata bina projek itu…tetapi jangan menggunakan penduduk di rumah panjang tersebut untuk menjalankan projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai projek Taman Rimba Kiara, di Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), hari ini yang turut dihadiri Aktivis, Datuk S Ambiga dan Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel.

Susulan kenyataan Khalid bahawa projek pembangunan itu akan dibentang pada mesyuarat kabinet untuk dipertimbangkan, Hannah berkata pihaknya kini sedang menunggu perkara itu untuk dilaksanakan.

“Namun sebelum kes ini dibawa ke kabinet, ia sepatutnya perlu melalui input daripada Peguam Negara, iaitu Tommy Thomas terlebih dahulu.. kita mahu Tommy melihat perkara ini kerana mempunyai konflik kepentingan,” katanya lagi.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, DBKL telah mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar di kawasan berkenaan.

Projek pembangunan itu melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Khalid menegaskan, projek pembangunan itu adalah untuk membina semula penempatan penduduk rumah panjang di kawasan itu, dan beliau tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan dalam projek berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mahupun YWP sebagai badan kebajikan dan tuan tanah berdaftar tidak menerima apa-apa keuntungan, melainkan untuk membantu penduduk rumah panjang yang telah mendiami kawasan itu sejak 38 tahun lepas.

Pada 15 April lalu, Khalid dilaporkan berkata pemaju projek bersetuju mengurangkan saiz dan jumlah blok pangsapuri dengan keluasan projek itu dikecilkan daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar.