Malaysia Dateline

Tamat Darurat: PRN Sarawak, PRK perlu dilaksana dalam tempoh 60 hari

Pembatalan Ordinan Darurat yang diumumkan Menteri Undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan di dewan hari ini akan memberi beberapa kesan yang signifikan antaranya pilihan raya di negeri Sarawak, demikian menurut Pakar Perlembagaan Dr Muhammad Fathi Yusof.

Menurut beliau, susulan pengumuman itu, Dewan Undangan Negeri Sarawak perlu diisytiharkan terbubar kerana tamat tempoh lima tahun dan Pilihan Raya Negeri Sarawak perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ordinan tidak lagi berkuatkuasa.

Katanya, kerusi Parlimen dan DUN yang kosong dalam tempoh Proklamasi Darurat perlu diisi melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh 60 hari ordinan tidak lagi berkuatkuasa.

“Antara kerusi yang terlibat ialah kerusi Melor di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

“Jika darurat khusus untuk Parlimen Batu Sapi, Gerik dan kerusi Bugaya DUN Sabah juga ditamatkan, maka PRK untuk kerusi-kerusi berkenaan juga perlu dilaksanakan,” kata beliau.

Namun katanya, jika Perdana Menteri tidak mendapat sokongan untuk kelulusan Belanjawan 2022 atau kalah dalam apa-apa pengundian di Dewan Rakyat, maka ia boleh ditafsirkan sebagai beliau hilang keparcayaan.

“Menurut Perkara 40(3), jika tiada calon lain yang layak dilantik perdana Menteri, maka YDPA boleh membubarkan Parlimen atas kehendak PM.

“Dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen, Pilihan Raya Umum ke-15 perlu dilaksanakan di seluruh negara,” kata beliau.

Begitu juga dalam hal kadar denda yang tinggi bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dipinda melalui Ordinan Darurat katanya dengan sendirinya terbatal dan kadar denda asal yang lebih rendah perlu berkuatkuasa.

“Kita doakan agar perkembangan yang berlaku ini tidak menjejaskan usaha yang sedang dilaksanakan bagi menghadapi wabak COVID-19.

“Moga Allah kurniakan jalan keluar yang terbaik kepada kita semua dalam menghadapi dugaan yang besar ini,” ujar beliau.