Malaysia Dateline

Tamat darurat: Usah lumpuhkan demokrasi, rendahkan pemikiran rakyat

Pemimpin AMANAH Kedah menegaskan pentingnya sidang Dewan Rakyat dibuka semula dengan tidak menjadikan pelaksanaan darurat dan Covid-10 sebagai alasan.

Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, alasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan darurat berlaku ketika rakyat pada masa ini jauh lebih celik maklumat berbanding sebelum merdeka.

“Kerajaan merendahkan pemikiran rakyat apabila memberi alasan Ahli Parlimen ada yang berusia tua (terdedah kepada jangkitan Covid-19).

“Sekarang kita sudah lebih 60 tahun merdeka. Semua orang sudah tahu membaca.

“Agong boleh panggil Speaker tetapi tafsiran yang dipakai sekarang ialah nak suruh Perdana Menteri arah Speaker.

“Padahal Agong boleh, sebab dalam keadaan darurat. Kalau keadaan biasa (tanpa darurat), ya, Perdana Menteri nasihat Agong,” katanya dalam siaran Facebook Live malam tadi.

Phahrolrazi yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berpendapat darurat digunakan oleh kerajaan PN untuk menolak hak rakyat dan sistem demokrasi berparlimen.

“Darurat tidak harus sewenang-wenangnya diisytiharkan, mesti ada sebab keselamatan yang kukuh.

“Sebaliknya, darurat digunakan sebagai kesempatan untuk menafikan hak rakyat. Ini satu isu besar,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu berkenaan menegaskan darurat perlu ditamatkan dan tiada sebab dipertahankan.

Turut sama menjadi panel dalam bual bicara ‘Darurat gugat negara’ itu ialah Naib Preside AMANAH, Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dan Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, terdapat 80 negara setakat ini yang melaksanakan perintah darurat ekoran pandemik Covid-19 termasuk Perancis dan Australia.

“Tetapi bukan seluruh negara, hanya kawasan tertentu. Tiada satu negara tersebut (daripada 80 negara) yang menggantung Parlimen seperti Malaysia.

“Kerajaan melumpuhkan demokrasi dengan alasan darurat. Padahal, Parlimen adalah tempat untuk menggubal undang-undang,” kata ADUN Pengkalan Kundor itu lagi.

Untuk rekod, AMANAH Kedah memiliki empat kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen di Kedah pada PRU 2018 sekali gus membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersama PKR, Bersatu dan DAP.

Bagaimanapun, kerajaan PH Kedah tumbang pada Mei tahun lalu apabila Perikatan Nasional (PN) negeri mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN termasuk dari Bersatu.

Sokongan terbabit adalah 15 daripada Pas, Bersatu (empat) dan masing-masing dua daripada Umno dan Bebas yang juga bekas ADUN PKR.