Malaysia Dateline

TamatDarurat usaha baiki demokrasi negara

Mendesak kerajaan PN untuk menamatkan darurat adalah sangat penting demi usaha membaiki demokrasi negara yang telah tercemar pasca Langkah Sheraton setahun yang lalu.

AJK Pemuda AMANAH Nasional Abbas Azmi berkata, nadi demokrasi bagi sebuah negara yang merdeka adalah sistem parlimen yang bebas.

Namun katanya penutupan parlimen ketika mana sekolah, masjid, mall dan kelab malam dibenarkan buka adalah sesuatu yang memalukan Malaysia diperingkat antarabangsa.

“Proklamasi darurat politik yang telah dilakukan Muhyiddin Yassin jelas beragendakan kepentingan politik sempit Perikatan Nasional sendiri.

“Hal ini diakui ramai rakyat Malaysia sementelah jelas ia tidak membawa impak untuk mencegah rakyat daripada pendemik Covid-19,”katanya.

Menurut Azmi, ramai penganalisa dan pemimpin politik berpandangan bahawa kaedah sedia ada untuk mencegah penularan wabak ini sudah memadai dan hanya perlu dipastikan ia dipatuhi dengan baik.

“Rakyat hari ini sangat gusar dengan tindakan double standard yang jelas memihak politikus pro kerajaan PN,”katanya lagi.

Sebelum ini Khalid Samad bersama Jawatankuasa Tamat Darurat telah melancarkan kempen mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Kempen itu dilancarkan untuk mengumpulkan sokongan rakyat negara ini untuk merayu Yang Dipertuan Agong agar menamatkan darurat.