Tamatkan BN yang susahkan rakyat, kata Daim

Terlalu banyak kepincangan yang telah Umno dan BN lakukan sehingga hidup rakyat semakin tertekan, kata Daim.

Seruan supaya tidak lagi memberi mandat kepada Umno dan BN untuk terus berkuasa dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 kali ini diharapkan tidak disia-siakan.

Mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata demikian ketika bertemu dengan penduduk Taman Merbau Indah, Sungai Dua, Tasek Gelugor semalam.

Katanya lagi dalam PRU kali ini, para pengundi disarankan supaya tidak memberi sekelumit undi kepada Umno dan BN.

Beliau juga berkata, sejak sekian lama BN tidak bercakap benar dan membohongi rakyat.

Oleh kerana itu tegasnya, adalah sesuatu yang tidak wajar seandainya mandat terus diberikan kepada Umno dan BN tidak lama lagi.

“Jangan lagi pangkah dacing kerana apabila pangkah dacing, maka ia akan terus berkuasa dan rakyat hidup susah.

“Tolak Umno dan BN dan beri lah sokongan kepada Pakatan Harapan (PH)

“Terlalu banyak kepincangan yang telah Umno dan BN lakukan sehingga hidup rakyat semakin tertekan, ” jelasnya lagi.

Malah ujarnya, seandainya mandat diberikan kepada BN sekali lagi banyak lagi polisi baru yang menekan rakyat akan dilaksanakan.

“Rakyat pilih kerajaan untuk membela nasib mereka, sebaliknya ini tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Yang paling penting ialah buang Umno, maka BN akan pasti lumpuh kerana MCA dan MIC hanyalah pak turut semata-mata.

“Rakyat harus buktikan bahawa mereka berani untuk buang Umno dan BN pada 9 Mei nanti, ” ujarnya lagi.

Kata Daim lagi, sekiranya pencuri hendak masuk ke dalam rumah, maka kita mesti menangkap pencuri tersebut.

Tambahnya, seandainya pencuri tersebut tidak ditangkap, habis semua barang yang ada dalam rumah tersebut pasti akan dikebasnya.

“Paling mengecewakan ialah cukai GST yang dikenakan kepada bayi yang baru lahir sehinggalah kepada mereka yang meninggal dunia.

“Jika tidak mahu cukai yang menekan rakyat ini diteruskan maka berilah mandat kepada kerajaan PH pada rabu ini.

“Tamatkan riwayat BN dan hapuskan GST, barulah rakyat akan dapat hidup dengan lebih senang dan selesa, ” tegasnya lagi.

Menurut Daim lagi, selepas ini Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibebaskan segera bagi memastikan negara ini dapat dibangunkan bersama dengan idea yang ada pada beliau.

Turut hadir ialah calon Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah serta calon PH bagi Parlimen Tasek Gelugor, Marzuki Yahya serta kepimpinan PH.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0