Malaysia Dateline

Tamatkan diskaun Xtra20 bebankan rakyat, rugikan KTMB

Seperti yang dimaklumkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), semalam (31 Disember 2020) menandakan penamatan Inisiatif Diskaun Tambang Komuter Xtra 20.

Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berpendapat bahawa penamatan ini adalah satu kerugian yang akan membebankan rakyat serta KTMB sendiri.

Dengan peruntukan dalam belanjawan 2021 yang memakan ratusan juta ringgit, beliau menganggap penamatan Inisiatif Diskaun Xtra 20 ini adalah langkah ke belakang yang boleh menggugat prestasi KTMB sendiri.

Sebelum ini mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelaksanaan diskaun 20 peratus ini adalah sebuah langkah mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Inisiatif ini diperkenalkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan atas hasil maklum balas serta pandangan pelbagai pihak.

Menurut Syed Ibrahim inisiatif yang diperkenalkan pada Mac 2019 ini juga merupakan senjata serampang dua mata, selain daripada membantu rakyat kebanyakan, secara tidak langsung ia akan membantu peningkatan kadar pengguna KTMB yang tidak konsisten.

Mantan Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke memaklumkan KTMB mengalami pengurangan bilangan penumpang yang kritikal bermula dari tahun 2016 sehingga 2019.

Penurunan drastik bilangan penumpang sehingga 32 juta setahun pada 2019 berbanding 50 juta setahun pada 2015 berlaku atas beberapa faktor antaranya kualiti perkhidmatan, persaingan dengan kemudahan awam lain dan kadar harga tiket.

“Saya telah bangkitkan persoalan dalam parlimen mengenai status kewangan KTMB yang menuntut untuk kerajaan berbelanja besar bagi memperkasakan KTMB,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) agar meneliti semula penamatan inisiatif ini.

“MOT wajar mencari kaedah agar sebuah inisiatif bagi mengurangkan beban rakyat yang menggunakan perkhidmatan KTMB sekiranya Inisiatif Diskaun Xtra 20 tidak diteruskan,” ujarnya.