Malaysia Dateline

Tambah baik hubungan penganut agama lain dengan orang Islam bukan kesangsian

Menteri Hal-Ehwal Agama Idris Ahmad sepatutnya menambah baik hubungan antara penganut pelbagai agama dengan orang Islam, dan bukannya menimbulkan kesangsian dan keresahan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Wilayah Persekutuan, demikian menurut Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Beliau kesal dengan Idris Ahmad yang menyatakan jabatannya akan mewujudkan undang-undang untuk menyekat penyebaran agama bukan Islam di Wilayah Persekutuan.

“Sedangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah jelas kepada semua.

“Fasal 11 di Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan dan menjalankan agamanya, manakala Fasal 11(4) menyekat penyebaran agama-agama lain untuk umat Islam.

Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini sudah cukup untuk menangani hal ini.

Beliau berkata, Idris sebagai anggota Kabinet perlu menggalakkan penganut semua agama untuk saling bantu-membantu ketikan pandemik ini khususnya terhadap golongan yang terpinggir di seluruh negara, termasuk Wilayah Persekutuan.

Jelas Teresa Idris sepatutnya menggalakkan amalan kasih sayang dan kebajikan yang menjadi tonggak agama Islam kepada semua warga Malaysia.

“Saya menyeru Idris Ahmad dan anggota kabinet yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri untuk menentukan keutamaan kerajaan dalam mengatasi krisis pandemik hari ini, dan bukannya melakukan sesuatu yang boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Realiti di Wilayah Persekutuan sekarang ialah ramai orang sedang berusaha gigih untuk memulihkan kembali kehidupan di bawah pandemik Covid-19. Banyak tempat ibadat telah ditutup di bawah PKP, termasuk PKPD, sejak bulan Mac tahun lepas. Sepatutnya inilah yang perlu ditangani dengan baik di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Justeru beliau percaya semua agama mengajar hidup dengan toleransi dan saling faham-memahami antara satu sama lain.

“Semangat #kitajagakita ialah bukti kepada semangat gotong-royong rakyat tanpa mengira kaum dan agama,”ujarnya.