Malaysia Dateline

Tambah baik, tidak perlu tutup semua sekolah tahfiz, kata Hanipa

Hanipa Maidin

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin menolak saranan supaya sekolah tahfiz ditutup sebaliknya langkah lain lebih munasabah boleh dilakukan terhadap sistem pendidikan Islam itu.

Menurutnya, usaha seperti penambahbaikan atau penstrukturan semula pusat tahfiz adalah lebih rasional dilaksanakan.

“Cadangan untuk tutup semua sekolah tahfiz, bagi saya, bukan sahaja sangat drastik tapi juga tak perlu sama sekali,” tegas Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional berkenaan hari ini.

Hanipa yang juga peguam berkata demikian dipercayai mengulas gesaan bekas menteri Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung perkara tersebut.

Zainuddin yang dikenali sebagai Zam dalam blognya semalam menyarankan agar semua sekolah tahfiz ditutup bagi “membawa keluar umat Islam Malaysia daripada amalan agama jumud yang dipromo oleh Pas sekian lama dan dengan sokongan orang-orang agama yang tidak mendapat pendedahan.”

“Saya harap Mujahid akan dapat memainkan peranan berani dan tegas untuk membawa umat Islam negara ini kepada realiti dan keperluan kepada sikap dinamik dan menolak kearaban sebagai keislaman.

“Pertama sekali langkah mesti diambil untuk menutup semua sekolah tahfiz di negara ini yang tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baru Islam,” tulis Zam lagi.

Wan Ji Wan Hussin

Dalam hal berkaitan, penceramah Wan Ji Wan Husin dalam reaksinya di Facebook beliau turut membantah gesaan Zam.

Menurutnya, kejumudan tidak bergantung kepada sistem tahfiz semata-mata tetapi bagaimana pemikiran pelajar dibentuk.

“Sekolah biasa juga ada melahirkan pelajar yang jumud, pelajar tahfiz juga boleh mempunyai pemikiran yang hebat, malah merentasi zaman.

“(Ia soal) sejauh mana cara berfikir dibentuk sejak di peringkat sekolah lagi. Jika guru didedahkan dengan pemikiran kreatif, sekolah tahfiz pun boleh lahirkan pelajar yang tidak jumud,” hujahnya hari ini.