Malaysia Dateline

Tambah cabutan nombor ekor undang lebih banyak mudarat, tegas Persatuan Ulama

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menegaskan kerajaan perlu menghapuskan segala bentuk perjudian bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara, tanpa mengira agama.

Menurut Yang Dipertua PUM, Abdul Halim Abdul Kadir, amalan judi jelas membawa lebih banyak mudarat kepada rakyat yang akan terpalit dengan kegiatan perjudian dalam kehidupan mereka.

“PUM ingin menyatakan bantahan terhadap perkara ini kerana judi bukanlah sesuatu yang sihat untuk rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.

“Dari sudut pandang Islam, sudah jelas sekali judi itu, walaupun ada yang diberi lesen oleh kerajaan, hukumnya adalah haram,” tegasnya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan membatalkan kelulusan penambahan cabutan khas nombor ramalan daripada lapan kali pada 2020 kepada 22 kali tahun ini.

Abdul Halim turut menggesa kerajaan negeri mengambil pendekatan sama dengan membanteras segala bentuk perjudian di negeri masing-masing.

“Ini kerana kami mendapat maklum terdapat juga pertambahan bilangan tempat perjudian di negeri-negeri tertentu, sama ada yang diwujudkan secara haram mahupun yang diberikan lesen operasi.

“Marilah sama-sama kita bergerak ke arah membentuk Keluarga Malaysia yang lebih sejahtera dengan menghapuskan judi,” serunya.

Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat minggu lalu mengundang kritikan banyak pihak apabila memaklumkan kerajaan meluluskan cabutan khas bagi semua agensi nombor ramalan kepada 22 kali tahun ini berbanding hanya lapan kali sebelum ini.