Malaysia Dateline

‘Tambah hutang sambil tersenyum sama seperti bos itu’

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad menyelar pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang merancang untuk membuat pinjaman ekoran kegawatan ekonomi akibat Covid-19.

Khalid berpendapat generasi masa depan akhirnya akan dibebani dengan hutang tersebut ketika negara pada masa ini sudah sedia menanggung hutang awam mencecah 52 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Menambah pinjaman dan hutang sambil tersenyum. Bukan duit aku dan bukan hutang aku. Generasi akan datang dan seterusnya settlekanlah,” ujarnya di Twitter hari ini.

Zafrul memberitahu Reuters, defisit fiskal tahun ini akan naik hampir sekali ganda ketika Malaysia mempertimbangkan pilihan untuk menaikkan aras hutang awam.

Menurutnya, defisit fiskal akan meningkat kepada sekitar 6 peratus daripada pengeluaran ekonomi tahun ini susulan pakej rangsangan menangani kesan pandemik Covid-19.

Jelasnya lagi, suntikan dana RM10 bilion yang diumumkan pada 5 Jun lalu akan ditampung melalui pinjaman domestik.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan menyifatkan reaksi Zafrul yang tersenyum sama seperti “boss” itu ketika menyamun.

Tanpa menyebutkan siapa “boss” yang dimaksudkan, ungkapan “mangsa scam” yang ditulis oleh Khalid dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Seperti boss itu yang menyamun sambil tersenyum. Saya tak tahu… Saya mangsa scam. Tapi duit dah habis joli. Beg tangan ohh beg tangan,” sindir Khalid lagi.

Baru-baru ini, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dilapor berkata, anak guamnya ialah mangsa penipuan beberapa individu termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil dan beberapa pegawai bank yang tidak jujur.

Menurut Shafee lagi, kes berprofil tinggi dihadapi anak guamnya itu menimbulkan persoalan utama bagaimana Najib tidak menyedari keadaan sejumlah besar wang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Awal pagi 18 Mei 2018, polis telah merampas 284 kotak, 72 bagasi mengandungi wang tunai, beg berjenama mewah dan barangan bernilai termasuk jam tangan dalam satu operasi pencarian di pangsapuri kediaman mewah Najib di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.