Tambah kerusi: Idris terdesak selamatkan Umno, bidas Amanah Melaka

Tambah kerusi: Idris terdesak selamatkan Umno, bidas Amanah Melaka

 

Amanah Melaka menyifatkan cadangan BN negeri itu utuk menambah beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) sebagai satu taktik jahat dan membelakangkan aspirasi rakyat.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, rakyat secara terbuka mahu kerajaan dan sistem yang sedia ada diubah kepada keadaan lebih baik bukannya kerusi Dun yang baharu.

“Langkah tersebut bukanlah mahu merakyatkan demokrasi berparlimen, tetapi lebih kepada mahu menjaga survival politik Umno dan Barisan Nasional,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kajian mengikut prinsip-prinsip yang telah digariskan dalam Seksyen 2 Bahagian 1 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan bagi menyediakan draf cadangan sempadan bahagian pilihanraya yang baharu.

“Ini supaya pihak SPR tidak dilihat bersekongkol dalam mengekalkan pemerintahan kerajaan BN khususnya dalam isu yang dibangkitkan Datuk Seri Idris Haron yang juga merupakan Pengerusi Umno Melaka,” jelasnya.

Mengulas lanjut cadangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sebelum ini untuk menambah kerusi Dun itu, beliau berkata keadaan yang sekaligus melibatkan perpindahan pengundi itu dilihat sebagai tindakan terdesak Umno di bawah pimpinan berkenaan.

“Amanah dan Pakatan Harapan yakin bahawasanya tindakan ini adalah respon terhadap manifestasi penolakan rakyat terbanyak terhadap BN yang kini terpalit dengan kegagalan tadbir urus yang baik.

“Ia juga kegagalan bagi sesebuah kerajaan terhadap rakyat yang bernaung di bawahnya. Perlu juga diingat, SPR bukanlah perkakas untuk Umno mengekalkan kuasa dan memanjangkan hayat politik Barisan Nasional,” ujar Adly lagi.

Semalam, Idris memberitahu penambahan kerusi itu dianggap wajar kerana beberapa kawasan Parlimen di Melaka mempunyai jumlah pengundi yang terlalu ramai pada masa ini.