Umum tahu tentang keadaan terminal bas sementara Kota Bharu yang terletak di Lembah Sireh, walaupun sudah dinaik taraf, rakyat tetap menunggu janji terminal bas baru.
Sebelum ini pada tahun 2022, media melaporkan bahawa Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB) Sentral yang baharu dijangka siap hujung 2025.
Tinggal setahun sahaja lagi tapi tiada perkembangan terbaru mengenai projek tersebut rupanya tarikh jangka siap sudah berubah.
Menurut Harian Metro, kerajaan Kelantan akan menyiapkan sendiri pembinaan Terminal Bas KB Sentral menjelang 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, ini berikutan isu KB Sentral menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Pada masa sama, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan siap sepenuhnya pada 2027.
Tambahnya, kerajaan negeri menandatangani perjanjian dengan satu syarikat untuk menyiapkan KB Sentral.
“Cuma ada berlaku pindaan komponen pembangunan sebagaimana yang dirancang dan berlaku perubahan antara faktor utama ECRL tidak membenarkan KB Sentral ‘tap masuk’ (disambung) ke stesen ECRL.
“Kalau kita nak laksanakan KB Sentral, penumpang ECRL kena turun dulu dan perlu ambil jalan baru nak naik ke KB Sentral.
“Sedangkan asal kita ialah satu konsep integrated (bersepadu) antara KB Sentral, terminal bas, ECRL yang ada hab e-hailing dan kereta sewa seperti KL Sentral,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Kaji balik proses pembangunan KB Sentral
Bila tahun bertukar maka pihaknya terpaksa kaji balik proses pembangunan (KB Sentral) dan berlaku perubahan dalam komponen, nilai pembangunan serta jadual kerja tidak sama seperti jadual asal.
“Kita dalam proses untuk memuktamadkan perjanjian akhir antara pemaju dan sekiranya tiada apa-apa kita akan teruskan.
“Peringkat negeri kita dah bayar tanah (pengambilan) dan sekiranya pemaju yang kita lantik dahulu tidak dapat meneruskan konsep asal.
“Kemungkinan kita (kerajaan negeri) akan buat sendiri tanpa komponen pembangunan seperti dirancang sebelum ini iaitu ada pasar raya dan sebagainya,” tambahnya.