Tambah peratusan Melayu di Bandaraya dengan Pembangunan Kg Baru

Tambah peratusan Melayu di Bandaraya dengan Pembangunan Kg Baru

Khalid melihat pemandangan Kg Baru dari atas Saloma Link.

Tujuan penubuhan Kampung Baru dahulu untuk menambah bilangan orang Melayu di Kuala Lumpur akan diperkasakan lagi dengan pembangunan semula Kampung Baru.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, ia akan dilakukan melalui pembangunan semula Kampung Baru yang sedang dirancang kerajaan.

“Kampung Baru dibuka dulu untuk membawa orang Melayu ke Kuala Lumpur. Sekarang kita cadang untuk bangunkan Kampung Baru untuk melaksanakan peranannya dahulu kerana jika dikekalkan dalam keadaan sekarang, ia akan merugikan orang Melayu,” katanya ketika melancarkan sesi soft launch Town Hall Kampung Baru yang akan dilaksanakan 21 September depan.

Town Hall itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Khalid menggariskan tiga matlamat pembangunan Kampung Baru.

Matlamat itu adalah tambah peratusan Melayu di Kuala Lumpur melalui pembinaan banyak unit rumah mampu milik dalam projek pembangunan itu nanti.

Matlamat kedua adalah mengembangkan harta orang Melayu yang kini terpendam di Kampung Baru.

Manakala matlamat ketiga adalah mengelakkan Kampung Baru menjadi kawasan mundur (slum area) di tengah-tengah bandaraya.