Dapat RM481 juta untuk DBKL antara kejayaan besar Khalid di KWP

Dapat RM481 juta untuk DBKL antara kejayaan besar Khalid di KWP

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya menambah pendapatan dalam bentuk wang tunai dan rezab tanahnya sebanyak RM481 juta selepas merundingkan semula tanah-tanah yang dijual oleh pentadbiran sebelum ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dalam sidang medianya hari ini memaklumkan, jumlah itu bertambah apabila rundingan berjalan terus selepas penubuhan satu pasukan khas (task force) oleh beliau beberapa bulan selepas menjadi menteri tahun lalu.

Perkara ini diumumkan Khalid dalam sidang media menjelang ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan 9 Mei depan.

Menurut Khalid, antara langkah awal yang beliau dan rakan-rakannya lakukan apabila menjadi kerajaan adalah mengkaji semula 97 transaksi tanah kepada pelbagai syarikat di Kuala Lumpur.

Sebelum itu, pelbagai laporan telah dibuat kepada SPRM mengenainya dengan andaian berlaku salah laku dalam semua transaksi tanah itu.

Ini kerana, harga jualan tanah itu lebih rendah dari nilai tanah semasa.

“Satu task force (pasukan petugas) telah ditubuhkan yang terdiri dari pegawai dari pejabat saya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL.

“Ia bertujuan untuk mengkaji dan membuat cadangan penyelesaian kepada tanah ini. Ekoran itu, rundingan telah dibuat semula dengan pihak-pihak pembeli tanah ini,” kata Khalid.

Selain itu, Khalid turut memberikan dua lagi kejayaan utama kementeriannya dalam tempoh setahun beliau menjadi menteri.

Malaysia akan akan meraikan sambutan ulang tahun pertama kerajaan PH pada 9 Mei nanti. Ekoran itu semua menteri diminta mamaklumkan apakah kejayaan mereka sepanjang setahun menjadi menteri.

PALING BESAR

Khalid bersama Datuk Bandar KL dan MP Wangsa Maju selepas mesyuarat Majlis Menteri di DBKL. Sehingga kini sudah empat kali Majlis Menteri bermesyuarat.

Bagi Khalid, kejayaan paling besar beliau adalah mempertingkatkan mutu demokrasi di Kuala Lumpur dengan menubuhkan Majlis Menteri.

Majlis ini dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan anggotanya adalah semua (11) ahli parlimen Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan pegawai kanannya serta pegawai kanan Kementerian Wilayah Persekutuan turut menyertai majlis ini.

Majlis ini bermesyuarat dua bulan sekali atau apabila diminta oleh sekurang-kurangnya enam dari 11 ahli parlimen yang ada.

“Penubuhan majlis ini adalah satu usaha untuk mengiktiraf peranan wakil yang dipilih oleh rakyat pada setiap kali pilihan raya yang selama ini terpinggir dari pentadbiran bandaraya Kuala Lumpur.

“Apabila semuanya berjalan lancar, kita bercadang untuk meminda Akta DBKL bagi memasukkan perkara ini dalam struktornya,” katanya.

PLANKL2020

Satu lagi kejayaan Khalid adalah mewartakan Plan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 (PlanKL2020) pada Oktober 2018.

“Ia adalah yang pertama kali dilakukan oleh DBKL. Langkah ini bertujuan untuk mengawal pembangunan di Kuala Lumpur agar selari dengan Plan Struktor Kuala Lumpur 2020 yang telah digezetkan,” katanya.

Sementara itu, katanya, persiapan dan kerja-kerja perundingan sedang dijalankan untuk menyiapkan Pelan KL 2040 dan selepas itu akan diwartakan menjelang akhir tahun 2020.

MENUJU KE DEPAN

Selain kejayaan lalu, Khalid berkata, kementeriannya sudah merancang banyak program untuk kesejahteraan penduduk khasnya di tiga wilayah yang terletak di bawah kementerian beliau dan yang paling adalah menangani kesesakan jalanraya di ibukota.

“Mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur adalah agenda utama sejak awal PH menang. Namun ia tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat tetapi memerlukan perancangan yang teliti,” katanya

Kementerian dan DBKL, katanya,  perlukan perancangan yang lebih baik, termasuk dalam Pelan KL 2040 bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.

“Satu pasukan perunding sedang dilantik untuk membuat kajian dan seterusnya membuat cadangan untuk menyelesaikannya untuk jangka pendek dan jangka panjang,” katanya.

Bas Go KL, Purple Line yang memberikan khidmat bas percuma di Lembah Pantai.

Selain itu, sebagai usaha awal, DBKL telah membelanjakan RM20 juta untuk menyelenggarakan laluan bas percuma Go KL yang bertujuan untuk menggalakkan pengguna jalan raya di KL menggunakan kenderaan awam.

“Sehingga kini dua laluan tambahan first mile (batu pertama)  telah dilaksanakan yang membolehkan penghuni flat dan rumah kos rendah menggunakan bas untuk ke stesen pengangkutan awam yang lain atau tempat kerja mereka.

“Kita berharap ia bakal mengurangkan kenderaan persendirian di jalan raya,” katanya.

Kenderaan batu pertama adalah kenderaan yang pertama digunakan oleh pengguna selepas keluar dari rumah untuk ke destinasi mereka khasnya ke tempat kerja.

Sebelum ini, bas Go KL lebih digunakan oleh pelancong untuk keliling bandaraya Kuala Lumpur.

Namun selepas kerajaan bertukar dan DBKL mengambil alih bas Go KL, ia sedang disusun ditukar untuk membantu penghuni KL menjadikannya sebagai kenderaan mereka ke pejabat atau ke stesen pengangkutan awam yang lain.

“Ia bertujuan untuk mengurangkan kenderaan di jalan raya dan seterusnya mengurangkan kesesakan di Kuala Lumpur,” kata Khalid.

Dua laluan baru itu adalah Oren Line di sekitar Titiwangsa manakala Purple Line di Lembah Pantai.