Tambahan Cuti Bersalin Bergaji:  Maybank dipuji Pemuda PSM

Tambahan Cuti Bersalin Bergaji: Maybank dipuji Pemuda PSM

Pemuda Parti Sosialis menyambut baik keputusan Kumpulan Malayan Baning Bhd (Maybank) melaksanakan cuti bergaji kepada pekerja wanita di institusi kewangan itu.

Dalam satu kenyataan PSM berkata, hanya ideologi sosialis menggalakkan golongan pekerja diberikan perhatian dan dijaga kebajikan oleh majikan dan kerajaan.

“Selaras dengan pendekatan negara-negara berkiblat sosialisme, golongan pekerja hendaklah sentiasa diberikan perhatian dan dijaga kebajikan mereka setiap masa oleh para majikan dan pihak kerajaan.

“Pemuda Parti Sosialis sangat tertarik dengan langkah pengurusan syarikat Maybank yang merupakan syarikat dan majikan pertama dalam negara kita yang menganugerahkan cuti bersalin bergaji selama 6 bulan kepada pekerja yang melahirkan anak.

“Pemuda PSM mengucapkan tahniah dan terima kasih kerana jasa para pekerja khususnya golongan wanita yang berkhidmat membangunkan negara dihargai dengan baik,” ujar kenyataan itu.

Negara sosialis, seperti Venezuela dan Cuba, ujar kenyataan itu lagi, telah melaksanakan cuti bersalin bergaji selama 7 bulan untuk para pekerja wanita.

” Hanya pemimpin kerajaan sosialis sahaja yang banyak memperjuangkan hak pekerja didalam manifesto dan polisi kerajaan.

“Pemuda PSM juga berhajat untuk mengusulkan perkara ini didalam manifesto pilihanraya oleh PSM supaya cuti bersalin menjadi antara perkara utama dalam misi meningkatkan keprihatinan ke atas kebajikan golongan pekerja.

“Selain daripada cuti bersalin, Pemuda PSM juga menyeru agar perkara-perkara lain melibatkan kebajikan pekerja dapat dijaga dengan baik khususnya dalam soal pampasan berhenti kerja dan gaji minima,” ujar kenyataan itu.

Justeru PSM mengharapkan majikan yang lain dapat mencontohi Maybank dalam memberikan yang terbaik kepada golongan pekerja.

“Kami juga berharap Maybank Malaysia dapat meneruskan agenda kebajikan pekerja dengan lebih baik dan sejahtera.”

Semalam Kumpulan Malayan Banking Bhd (Maybank) mengumumkan tawaran tempoh cuti bersalin sehingga setahun yang berkuatkuasa serta merta untuk pekerja wanita yang layak.

Ini menjadikan kumpulan itu sebagai institusi kewangan pertama menawarkan faedah cuti bersalin yang membolehkan pekerja menyambung cuti tambahan daripada 90 hari bergaji penuh kepada tambahan tiga bulan dengan separuh gaji atau enam bulan tanpa gaji.

TAGS