Suami kepada pelakon, Datin Intan Najuwa iaitu Datuk Ahmad Azraf Azman kembali menjadi topik perbincangan hangat selepas tampil dengan imej baharu.
Memuat naik satu hantaran di laman Instagram miliknya, Intan berkongsi sekeping gambar dipercayai diambil selepas pasangan suami isteri itu menghadiri kenduri.
Rata-rata pengguna media sosial akui terkejut apabila melihat perkongsian tersebut kerana Datuk Azraf tampak berbeza jika dibandingkan dengan penampilan dahulu.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, ramai pelayar Instagram menegur perubahan mendadak suami pelakon berkenaan yang kelihatan semakin kurus dan juga segak.
Perubahan kepada struktur wajah Datuk Azraf juga membuatkan lelaki yang berusia 40 tahun itu tampil lebih muda berbanding waktu mula diperkenalkan kepada umum.
Orang ramai juga turut mengambil peluang untuk memuji pemilik nama sebenar Intan Najuwa Abdul Wahid itu kerana pandai mengurus suami meskipun baru sahaja berkahwin.
Hal ini kerana, Datuk Azraf yang merupakan usahawan itu berjaya tampil lebih kacak setelah hanya lima bulan bergelar suami kepada pelakon drama Kekasih Paksa Rela tersebut.
“Datuk nampak kurus, makin segak dan comel,” kata salah seorang peminat yang menegur dan memuji perubahan positif ditampilkan oleh ahli perniagaan berkenaan.
“Lain betul Datuk sekarang, pandai isterinya jaga. Nampak segak, Alhamdulillah. Semoga bahagia hingga ke Jannah,” kongsi pengikut lain yang memuji Intan Najuwa.
Menjawab komen peminat, Intan Najuwa mengakui dirinya sebagai isteri mempunyai tanggungjawab untuk menjaga penampilan suaminya supaya kelihatan lebih terurus.
“(Kerana) sudah ada isteri. Jadi isteri perlu jagalah supaya kelihatan lebih kurus dan juga handsome (tampan).” Jelas pelakon berusia 27 tahun itu di ruangan komen.
Terdahulu, kehidupan pelakon yang mula terkenal menerusi drama Hantu Punya Bos itu menjadi tumpuan ramai selepas melangsungkan perkahwinan pada 18 Ogos lalu.
Walaupun suaminya dikatakan kelihatan ‘tua’, orang ramai bagaimanapun bersetuju dengan pilihan Intan Najuwa kerana menjadikan lelaki yang ‘stabil’ sebagai suami.
Mereka merasakan Intan layak menerima layanan terbaik daripada suaminya kerana memiliki pakej lengkap iaitu cantik, bijak dan pandai menguruskan rumah tangga.
Baca juga: Wawa Zainal sanggup labur hampir RM500k demi tambat hati stokis, ejen untuk jana keuntungan