Malaysia Dateline

Tampal jalan asal ‘cukup syarat’, Majlis Perbandaran Kajang undang amarah orang awam

Perkongsian kerja-kerja menampal jalan tar yang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) di Facebook baru-baru ini mendapat perhatian orang awam gara-gara kerja yang dilakukan pihak berkuasa tempatan itu dianggap ‘asal boleh’.

Meninjau ke Facebook rasmi MPKJ, kerja-kerja penampalan jalan itu sebenarnya dilakukan pada 19 Januari lalu, namun tidak menerima banyak komentar orang ramai.

Bagaimanapun, hantaran MPKJ itu telah dikongsi di Twitter dan menjadi perbincangan hangat dalam kalangan wargamaya.

Mereka meluahkan rasa kesal melihat cara majlis perbandaran yang hanya sekadar menampal jalan berlubang dan tidak melakukan turapan lebih menyeluruh.

Salah seorang penduduk di Kajang mengakui pihak berkuasa sekadar menggunakan kaedah penyelesaian sementara berbanding menyelesaikan masalah itu untuk jangka masa yang panjang.

“Saya yang duduk Kajang ini boleh mengesahkan perkara ini. Tampal lubang macam tampal kain.

“Sepanjang jalan dah rosak, dia tampal yang berlubang je berbanding turap semula jalan yang tak rata dan berlubang.

“Contoh Jalan Sungai Chua dari simpang Pearl Avenue menghala ke lampu isyarat berdekatan Ninso,” kata @ninienavid.

Dia juga menyebut Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan supaya berbincang dengan pihak MPKJ tentang isu tampalan jalan tar yang tidak kemas dan ada potensi untuk rosak semula.

Atas faktor itu, Syahredzan dalam ciapan balas, memberi respon mengatakan pihaknya juga sudah menerima banyak aduan berhubung hal itu dan akan meneliti lebih lanjut.

“Ya, ada banyak maklum balas macam ini. Nanti kami teliti,” balasnya.

Sementara itu ada beberapa pengguna media sosial memberi cadangan tegas agar didedahkan siapa pengarah yang meluluskan projek kerja-kerja tampal jalan.

Mereka juga meminta didedahkan senarai nama pegawai yang mencadangkan kertas kerja dan syarikat yang mendapat kontrak jalan itu supaya orang ramai dapat menilai.

“Lepas itu kasi nama dan dedahkannya. Dah 2023 buat rakyat macam bodoh tak ada akal,” tulis @dyoguma.

“Jika macam ini hasil kerja dan diluluskan untuk dimuat naik di sosial media rasmi, maka wajarlah ditukar sahaja ketua jabatan berkenaan.

“Tukar semua yang terlibat. Nampak sangat tugas dan tanggungjawab yang diberi tak dijalankan sebaik mungkin. Ketua perlu dipersalahkan kerana tak tengok hasil kerja anak buah,” komen pula @iyesayaye.

Baca juga: Trend baru di TikTok, budak kelas belakang tayang kereta mewah, sindir apa ‘top student’ dah capai

.