Tampil sebagai model Aliff Syukri, ramai terkejut bila tahu perangai sebenar Ira Kazar

Oleh WAN SITI AMINAH

Nama isteri kepada pengarah, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar kembali menjadi sebutan selepas tampil bersama usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri.

Oleh kerana Ira terpilih menjadi model tudung keluaran Aliff Syukri, penampilan itu bertujuan untuk mempromosikan produk tersebut di media sosial.

Turut memaparkan anak Aliff iaitu Qadejah El Zahra, penampilan tersebut dirakam sebelum dikongsi semula oleh laman Facebook, Selebriti Malaysia.

Menerusi rakaman tersebut, Ira menjawab beberapa soalan Aliff termasuklah kisah penghijrahannya saat mula membuat keputusan untuk memakai tudung.

Sekian lama berdiam diri setelah terpalit dengan kontroversi merampas bekas suami pelakon, Puteri Sarah, itu adalah pertama kali Ira muncul di khalayak ramai.

Menyita perhatian ramai, rata-rata pengguna media sosial mengaku terkejut ketika mendengar suara isteri pengarah sensasi itu buat pertama kali.

Berlainan dengan rupa paras yang kelihatan sedikit kasar, Ira rupa-rupanya memiliki nada suara manja ketika berkomunikasi dengan Aliff.

Tingkah serta perilaku pemilik nama sebenar Faghirah Fatini Kazaruddin itu turut mengundang perbincangan hangat di kalangan penonton.

Mana tidaknya, anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi itu terlihat sangat lemah lembut terutamanya ketika melayan anak perempuan Aliff.

“Cantik, lemah lembut, feminin dan bersederhana orangnya. Semoga rumah tangga Ira dan suami diberkati Allah,” doa seorang pengguna.

“Cantik sangat, nampak lembut apabila berkata-kata. Apa yang terjadi semua atas kehendak Allah.” Kongsi pengguna lain.

Ira dan Syamsul pernah mengejutkan rakyat Malaysia pada awal tahun lalu selepas didedahkan telah mendirikan rumah tangga secara rahsia.

Berwalikan bapa Ira iaitu pelakon, Kazar Saisi, mereka berdua sah menjadi suami isteri setelah bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari lalu.

Susulan daripada pendedahan itu, bekas isteri Syamsul, Puteri Sarah kemudian memfailkan tuntutan cerai agar dirinya dilepaskan.

Perkahwinan Syamsul dan Sarah berakhir setelah mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.

Tuntutan saman sivil Puteri Sarah terhadap Ira dan keluarga atas dakwaan mengganggu rumah tangga juga digugurkan.

Baca juga: “Buat hidung?” Terkejut tengok wajah baru Diana Danielle, ramai mengaku tak kenal