Malaysia Dateline

Tamrin didakwa hina TMJ

Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membuat penghinaan terhadap kerabat diraja Johor.

Anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba itu didakwa menggunakan aplikasi blog ‘tamrintunghafar’ pada pautan tamrintunghafar.blogspot.com tahun lalu secara sedar membuat komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Blog tersebut turut boleh dibaca menerusi laman Facebook bekas Ahli Parlimen Batu Berendam itu.

Lampiran yang disertakan bersama pertuduhan berkenaan membabitkan artikel bertajuk ‘TMJ – Bodoh Sombong Yang Tak Boleh Diajar’ dengan mengaitkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim selain Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Tamrin didakwa melakukan kesalahan di Kota Southkey di sini kira-kira jam 7 malam pada 2 Februari tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Tamrin, 71, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun, atau kedua-duanya.

Pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Jenayah dan Ketenteraman Awam, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Yusaini memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin namun Muhammad Rafique memohon mahkamah menetapkan jaminan tidak lebih RM5,000 atas alasan anak guamnya merupakan seorang penganggur ketika ini.

Selain itu Muhammad Rafique berkata, anak guammnya baru menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dan perlu membuat rawatan susulan setiap bulan.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Mei depan bagi sebutan semula dan penyerahan dokumen.