Tan Kok Yew bakal berhadapan sekali lagi dengan Cheah Soon Hai  di Dun Derga

Tan Kok Yew bakal berhadapan sekali lagi dengan Cheah Soon Hai di Dun Derga

Pengerusi DAP Kedah Tan Kok Yew (gambar) dijangka akan bertemu dengan seterunya sekali lagi  Dr Cheah Soon Hai dari Gerakan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini di Dewan Undangan Negeri (Dun) Derga.

Sebagaimana dimaklumkan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Kong dalam sidang media selepas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merasmikan persidangan perwakilan Gerakan peringkat negeri 2017 di Alor Setar hari ini.

Komponen BN parti Gerakan berkeyakinan Dr Cheah yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Negeri Kedah itu akan dapat merampas kembali kerusi Dun Derga di bawah Parlimen Pokok Sena yang pernah ditewaskan penyandangnya Tan Kok Yew dari DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Mah berkata parti itu sudah pun menyusun strategi untuk menghadapi PRU14 bagi memastikannya meraih kemenangan dan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.

Mah berkata bagi PRU14, Gerakan menamakan Cheah sebagai calon untuk bertanding semula bagi merebut kerusi Dun Derga selain mencalonkan Bendahari Gerakan Kedah Tan Kok Seong di kerusi DUn Sidam yang dimenangi PKR pada PRU13 lalu.

“Kita yakin dapat merampas semula kerusi Dun Sidam dan Derga pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Walaupun kita kalah di dua kerusi itu pada PRU13 lalu, calon yang bertanding tetap meneruskan kerja untuk berkhidmat kepada rakyat Kedah. Jika dilihat, kita kalah tipis di Derga jadi saya yakin kita mampu menang semula kerusi itu.

“Gerakan dan parti komponen lain perlulah terus bekerjasama bagi membolehkan kerusi-kerusi di Kedah dirampas kembali,” katanya.

Pada PRU13, calon BN dari Gerakan Bee Sieong Heng kalah kepada  calon Pakatan Rakyat Robert Ling Kui dari PKR dengan majoriti 5,964 undi dalam pertandingan Dun Sidam di bawah Parlimen Sungai Petani.

Dun Derga di bawah Parlimen Pokok Sena pula dimenangi Tan Kok Yew (DAP)  apabila mengalahkan Dr Cheah Soon Hai calon BN (Gerakan) dengan majoriti tipis 1,156 undi.

Menurut Mah lagi dengan pemilihan calon lebih awal, ia membolehkan mereka bekerja lebih awal untuk menyelesaikan apa sahaja masalah yang timbul dan tidak hanya menunggu di saat-saat akhir sebelum pilihan raya.