Malaysia Dateline

Tan Sri Mohamad Ariff, Datuk Azhar Harun dan nasib Parlimen Malaysia

Semalam dalam sidang Parlimen, pembangkang membangkitkan isu mengenai usul menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun menyatakan usul tersebut ditolak tetapi beliau tidak terlibat dalam penolakan usul tersebut kerana ianya dibuat oleh Timbalan beliau iaitu Datuk Rashid Hasnon.

Datuk Rashid Hasnon menyatakan bahawa penolakan usul tersebut adalah disebabkan oleh kesalahan teknikal.

Saya sendiri telah melihat usul-usul yang telah diberikan kepada Dewan Rakyat yang mempunyai pelbagai versi tetapi sayangnya tidak juga dapat memenuhi kehendak pejabat Yang Dipertua termasuk Setiausaha Dewan Rakyat dan Penasihat Undang-undang.

Teringat saya bahawa sebelum ini Yang Dipertua Dewan Rakyat kesembilan, Tan Sri Mohamad Ariff yang sangat berjiwa besar.

Beliau bukan sahaja membenarkan usul untuk menukar kedudukannya tetapi juga meletakkan usul tersebut sebagai agenda utama dalam aturan urusan mesyuarat walaupun tidak pernah berlaku dalam sejarah 800 tahun amalan Parlimen Westminster termasuk di United Kingdom.

Tetapi, malang apa Datuk Azhar Harun mengambil sikap berlepas diri malah langsung tidak menjelaskannya sehinggalah didesak sedangkan usul tersebut jelas mempertikaikan keabsahannya sebagai seorang Yang Dipertua.

Walau bagaimanapun, saya menyedari bahawa sekiranya usul tersebut dibenarkan sekalipun, ianya tidak akan dibincangkan disebabkan Peraturan Mesyuarat No. 15 kerana saya percaya bahawa pihak kerajaan pula sesekali tidak akan membenarkannya dikemukakan.

Lebih menyedihkan apabila sidang Dewan juga tidak membangkitkan atau membincangkan usul untuk melantik seorang lagi Timbalan Yang Dipertua ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman walaupun nama-nama calon sudah kedengaran oleh kerana saya difahamkan terdapat politik dalaman.

Akhirnya, insiden-insiden atau tindakan-tindakan sebegini bukan sahaja akan membantutkan perjalanan malah akan menjejaskan lagi reformasi Parlimen Malaysia dan seterusnya menggelapkan lagi masa depan institusi tertinggi negara tersebut.

*WAN ANWAR WAN IBRAHIM merupakan mantan Pegawai Tugas-tugas Khas Kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.