Tan Sri Sanusi Junid meninggal dunia, hadir majlis pelancaran manifesto PH malam tadi

Tan Sri Sanusi Junid meninggal dunia, hadir majlis pelancaran manifesto PH malam tadi

Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid pulang ke rahmatullah sebelum Subuh pagi tadi di kediaman beliau d Bukit Damansara.

Kematian Allahyarham dianggap satu kejutan kerana bekas menteri dalam kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad itu hadir pada majlis pelancaran manifesto Pakatan Harapan di Shah Alam malam tadi.

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada Pakatan Harapan memandangkan Sanusi ialah ahli politik dan pentadbir yang berpengalaman.

“Beliau gigih berjuang dalam Pakatan Harapan dan masih hadir dalam majlis pelancaran manifesto malam tadi,” kata Salahuddin yang juga Naib Presiden Pakatan Harapan.

Salahuddin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan para syuhada dan salehin.

Ketika menjawat Menteri Pertanian, beliau terkenal dengan pelbagai kempen memajukan industri pertanian tempatan, seperti kempen minum air kelapa muda.

Beliau dilantik menjadi menteri besar Kedah pada 1996.

Pada 2008, Sanusi keluar dari Umno bersama Dr Mahathir, yang ketika itu menyerang kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, susulan prestasi lemah BN pada pilihan raya umum tahun itu.

Sehingga akhir hayat beliau, Sanusi ialah pengkritik kuat Datuk Seri Najib Razak, dan menyokong Dr Mahathir. Kali terakhir penulisannya dimuat naik di blog beliau ialah pada 2 Mac lepas.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Bukit Damansara, Kuala Lumpur sebelum disemadikan.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS