Malaysia Dateline

Tanah di Jalan Semarak dikembalikan kepada Felda

Tanah di Jalan Semarak yang telah bertukar tangan kepada sebuah syarikat pemaju telah dikembalikan semula kepada Felda.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pemaju projek berkenaan telah bersetuju memulangkan hak tanah tersebut, yang kesemuanya berjumlah 16 lot, kepada Felda tanpa sebarang kos, lapor The Star Online hari ini.

Bercakap kepada media di Menara Felda petang tadi, Shahrir berkata, semua dokumen berkaitan akan dipulangkan dan akan didaftarkan atas nama Felda.

Bagaimanapun kata beliau, agensi berkenaan tidak berniat untuk menarik balik laporan polis yang dibuat pada 12 Disember dan 17 Disember tahun lalu itu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menipu dan memalsukan.

Kertas siasatan berhubung pertukaran nama tanah Felda di Jalan Semarak dijangka akan diserahkan kepada Peguam Negara pada penghujung minggu ini.