Tanah di Senggarang hilang ditelan laut

Tanah di Senggarang hilang ditelan laut

Penduduk Kampung Sungai Lurus, Batu Pahat Johor hari ini mendakwa tanah mereka kian hilang ditelan laut akibat berlakunya hakisan.

Aduan hakisan sepanjang pantai dari Punggur ke Parit Balak itu telah dibawa ke pejabat Pusat Khidmat Adun Senggarang, Batu Pahat.

Ketika dihubungi Malaysia Dateline, Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim telah mengesahkan terdapat aduan penduduk kampung berhubung kejadian hakisan itu.

Beliau menyatakan bahawa lawatan turun padang telah dijalankan dan didapati terdapat hakisan yang besar telah berlaku di lokasi tersebut.

“Akibat daripada hakisan ini, industri kupang yang baru mula bertapak di perairan Senggarang pastinya terjejas.

“Hakisan ini juga telah membawa kesan buruk kepada tempat riadah Pantai Pasir Putih Bukit Batu.

“Selain itu, hutan paya bakau yang berbaki satu kilometer persegi terjejas dan industri kelong serta langai dikenal pasti terjejas akibat dari hakisan,” jelasnya.

Terdahulu, hal terbabit telah dibawa oleh Khairuddin ke sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor yang lalu dan beliau akan membincangkan perkara itu lebih lanjut dengan pihak kerajaan negeri.

Beliau mencadangkan peruntukan untuk membina benteng pemecah ombak perlu disegerakan di perairan Senggarang.

“Benteng penahan ombak yang sedia ada agak tipis dan ia perlu diperkukuhkan dengan menebalkan benteng berkenaan.

“Bantuan tanaman semula jadi juga mampu untuk menjadi penangkis dan penahan ombak seperti pokok bakau sedia ada yang perlu dipelihara dengan baik.

“Kerajaan perlu mengkaji dan mengambil kira ‘ocean engineering’ kesan pembangunan di perairan pantai sebelah selatan Johor.

“Hal tersebut boleh mengubah corak alunan ombak yang menyebabkan peningkatan hakisan pantai tengah dan utara Johor,” cadangnya lagi.

Khairuddin melihat lokasi yang mengalami hakisan.