Malaysia Dateline

Tanah Felda Jalan Semarak: Najib digesa bercuti beri ruang siasatan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak wajar mengambil cuti bagi memberi ruang penyiasatan menyeluruh terhadap urus niaga mencurigakan sehingga menyebabkan Felda hilang hak terhadap tiga bidang tanah miliknya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Noraza Muda

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Felda, Lajnah Tanah Pas Pusat Noraza Muda berkata, pendedahan akhbar Berita Harian (BH) itu disahkan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad yang mengakui agensi itu ‘kehilangan’ tiga bidang tanah bernilai lebih RM250 juta.

“Beliau sendiri tidak faham bagaimana tanah milik Felda boleh berpindah milik kepada syarikat lain.

“Merujuk rentetan laporan dan pendedahan media masa ini, kami warga Felda berpendapat sewajarnya penyiasatan menyeluruh kepada mereka yang terlibat dengan kadar segera kerana melibatkan aset Felda.

“Skandal berangkai ini yang melibatkan beberapa syarikat seperti dirancang dengan rapi.

“Bermula dari cadangan Pembangunan Menara setinggi 70 tingkat di atas tapak Wisma Felda Jalan Gurney Kuala Lumpur yang diserahkan kepada sebuah Syarikat Syenergy Promenade Sdn. Bhd. Sebelum ini Koperasi Permodalan Felda dicadang mengambil alih dan menyelesaikan masalah kewangan Encorp

“Kami rakyat Malaysia dan warga Felda akan menyajung tinggi jika Perdana Menteri sendiri mengambil cuti bagi memberi ruang seluasnya.

“Ketokohan Datuk Seri Najib akan lebih dihormati jika percutian beliau nanti dapat membersihkan nama kerajaan dari terpalik skandal ini. Kami yakin dengan kefahaman seseorang itu tidak bersalah selagi beliau tidak dibuktikan kesalahannya,” ujarnya dalam kenyataan.

Menurut Noraza lagi, cadangan ini dilihat satu lagi penyalahgunaan dana koperasi terbesar orang Melayu untuk menyelamatkan syarikat yang dimiliki oleh seorang bekas Menteri.

“Sejauh mana penglibatan Felda dan Encop hanya pihak Felda dan kerajaan sahaja yang tahu.

“Pendedahan terbaharu ini juga dilihat satu agenda terancang mengenakan seseorang dan menyelamatkan seseorang.

“Lebih menarik pemilik Syarikat Syenergy Promenade adalah pemilik sama Syarikat yang disebut mengambil alih tanah Felda iaitu Kuala Lumpur Vertical City (KLVC)

“Sudah sampai masanya skandal Felda dan Tan Sri Isa Samad (bekas pengerusi Felda)  ditamatkan. Kenapa perlu kerajaan menunggu kehilangan demi kehilangan aset dan wang Felda terdedah tanpa penyiasatan dari pihak berwajib sendiri. Mustahil Isa Samad keseorangan tanpa penglibatan orang yang lebih besar dalam berpuluh-puluh skandal yang melanda Felda sejak 2011,” ujarnya.