Malaysia Dateline

Tanah Felda: Majlis Belia Felda Terengganu buat laporan polis

Majlis Belia Felda Wilayah Terengganu semalam membuat laporan polis berhubung isu pindah hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Setiausaha Agungnya Mohd Syahrizal Md Yusof berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan polis menyiasat dan membawa dalang yang terbabit dalam skandal itu ke muka pengadilan.

Saya harap kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, di sini semalam.

Anggota media turut difahamkan laporan serupa juga dibuat oleh Suara Generasi Kedua Felda.

Dua hari lepas, media mendedahkan Felda kehilangan hak milik ke atas tanahnya yang bernilai RM270 juta di Jalan Semarak di ibu negara menerusi transaksi mencurigakan pada 2015.

Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata Felda membuat laporan polis berhubung kes itu pada 12 Disember lalu dan kelmarin polis dilaporkan telah menubuhkan satu pasukan khas pada 13 Disember untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

Selain itu, polis turut dilaporkan berkata akan memanggil bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Besi Roslee Daud menggesa golongan belia Felda menyuarakan pandangan dalam usaha menyelesaikan sebarang isu bersabit agensi berkenaan.

Jadi apa yang yang saya harapkan daripada anak-anak Felda ini supaya fikir dulu isu itu, kita tengok kebenaran kalau masih lagi ada keraguan, kita berbincang dengan kepimpinan masyarakat atau pengurusan Felda, katanya pada sidang media selepas Salutasi Majlis Perasmian Mesuarat Agung Tahunan Majlis Belia Felda Wilayah Terengganu ke-7 semalam.