Malaysia Dateline

Tanah Felda: Najib bertindak tidak adil kepada rakyat, kata Kanun

Biro Undang-Undang (Kanun) AMANAH mempersoalkan kos terhadap pindah milik tanah di Jalan Semarak oleh Synergy Promanade kepada Felda baru-baru ini tanpa dikenakan sebarang kos membabitkan duti setem dan peguam akan merugikan rakyat.

Timbalan Pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim berkata,  jika benar ada pengecualian duti setem diberikan maka Menteri Kewangan telah bertindak tidak adil terhadap rakyat.

Kata Wan Anwar lagi,  dalam sebarang bentuk transaksi hartanah pasti melibatkan kos yang berkaitan.

Antara kos yang terlibat adalah kos duti setem, kos pendaftaran pindah milik dan kos guaman.

“Tanah Felda ini dikatakan bernilai RM270 juta.

“Jika kita andaikan nilai tanah tersebut sebanyak itu maka nilai duti setem ad valorem yang dikenakan adalah lebih RM8juta dan kos guaman boleh mencecah RM1juta berdasarkan skala fi yang ditetapkan oleh Majlis Peguam.

“Siapakah yang menanggung kos duti setem dan kos guaman ini?,” soal Kanun dalam kenyataan hari ini.

Justeru Kanun berpandangan satu-satu cara untuk menolak kos duti setem ini adalah dengan mendapatkan pengecualian duti setem daripada Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku menteri kewangan.

“Kanun menggesa supaya Tan Sri Shahrir mendedahkan sama ada Menteri Kewangan telah memberikan pengecualian duti setem tersebut?

“Seterusnya apakah asasnya pengecualian duti setem tersebut diberikan jika benar Menteri Kewangan telah memberikan pengecualian tersebut?” soalnya.

Wan Anwar berkata, Menteri Kewangan tidak sepatutnya memberikan pengecualian duti setem kepada kecuaian pengurusan Felda. Malah sepatutnya Felda mengenakan surcaj kepada pengurusan Felda yang cuai itu untuk menampung kos duti setem yang dikenakan.

“Di kala rakyat dibebani dengan cukai GST, Felda pula dikecualikan daripada dikenakan duti setem. Jumlah duti setem lebih RM8juta itu jika digunakan sebaiknya maka ianya akan mendatangkan faedah besar kepada rakyat.”ujarnya.

Kanun turut menggesa walau pun tanah Jalan Semarak itu telah dikembalikan kepada Felda, tindakan undang-undang dan disiplin masih perlu diteruskan terhadap pegawai yang cuai sehingga menyebabkan kepentingan Felda tergugat.

“Tan Sri Shahrir perlu membuat pendedahan yang terperinci bagaimanakah tanah yang menjadi ibu pejabat Felda itu boleh hilang dan boleh kembali semula kepada Felda dalam tempoh hanya dua minggu sahaja?

“Silap mata apakah yang digunakan oleh Tan Sri Shahrir sehingga membolehkan transaksi hartanah yang biasanya memakan masa minima dua bulan boleh selesai dalam tempoh dua minggu sahaja?,” soalnya lagi.