Malaysia Dateline

Tanah Felda: PM, kabinet tidak boleh lepas tangan

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kabinet tidak boeh berlepas diri untuk ‘mencuci tangan’ terhadap apa jua tindak tanduk Tan Seri Isa Samad termasuk juga dalam hal keputusan-keputusan dan transaksi yang dibuat oleh Felda, FGV atau FIC semasa beliau menjadi pengerusinya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan Berita Harian pada 21 Disember 2017 lalu bahawa tiga lot tanah milik Felda bernilai lebih RM 200 juta yang menempatkan kompleks ibu pejabat Felda telah berpindah milik kepada sebuah syarikat pemaju swasta.

“Suatu yang sangat mustahil apabila keputusan sebegini besar yang akan membabitkan perobohan ibu pejabat Felda di tapak asal yang dikenali sebagai Wisma Felda, diikuti pula projek pembangunan semula tapak tersebut dengan usahasama (joint venture) bersama pemaju swasta serta pindahmilik tanah kepada pemaju tersebut tidak diketahui oleh PM dan kabinet.

“PM sendirilah yang berkeras melantik Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda pada tahun 2011 hingga penghujung 2016 meskipun mendapat bantahan daripada peneroka, kakitangan Felda, NGO dan parti-parti politik,” kata Mahfuz dalam kenyataan medianya semalam.

Menurut beliau, laporan berita yang sama juga mendedahkan bahawa syarikat pemaju yang dilantik untuk membangunkan tanah tersebut telah sewenang-wenangnya diberikan surat kuasa wakil secara penuh (full power of attorney) hingga membolehkan mereka memindah milik tanah tersebut tanpa pengetahuan Felda.

“Lebih mengejutkan apabila Pengerusi Felda Tan Seri Shahrir Samad sendiri mengakui bahawa transaksi pindah milik tanah-tanah tersebut tidak mendapat kelulusan Felda dan kerajaan, selain tiada sebarang pampasan pun yang dibayar kepada Felda selaku pemilik asal bagi urusan pertukaran hak milik tersebut.

“Pendedahan terbaru ini sesungguhnya membuktikan kebenaran tentang kebimbangan pelbagai pihak termasuk parti-parti politik bahawa Felda serta anak-anak syarikatnya seperti Felda Global Ventures (FGV), FIC dan sebagainya berdepan dengan pelbagai masalah urustadbir yang teruk bahkan terdapat kemungkinan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa di sebalik segala transaksi ini,” tambah beliau.