Tanah Ijok: Sivarasa jawap Eric See-To dan Faekah Husin

Bekas ahli parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad turut memberikan penjelasan sebelum ini.

Mutakhir ini, kempen propaganda BN berhubung tanah Ijok berterusan menerusi kenyataan daripada Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See-To dan Faekah Husin iaitu mantan setiausaha kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

See-To kini cuba menggambarkan firma guaman saya, M/s Daim & Gamany telah melakukan kesalahan. Namun, seperti lazimnya, apabila beliau cuba mewujudkan propaganda, fakta yang dimainkannya, silap. Beliau menganggap ianya adalah ‘konflik berkepentingan’ apabila Kerajaan Negeri Selangor melantik firma saya mewakili 980 peneroka. Ianya tidak benar dan berniat jahat. Beliau harus membaca kenyataan media saya yang dikeluarkan pada 23 Februari lalu dan menerusinya, telah dimaklumkan peneroka melantik firma saya untuk mewakili mereka. Ia tidak ada kaitan dengan Kerajaan Negeri Selangor.

See-To sepatutnya berjumpa peneroka dan bertanya sendiri sama ada Kerajaan Negeri mengarahkan mereka untuk melantik firma saya. Saya bersedia mengatur pertemuan antara peneroka dengan See-To supaya beliau boleh mendengar sendiri kebenaran daripada mulut mereka.

Dalam perkembangan sama, Faekah juga berbohong bahawa telah ditetapkan firma saya mesti bertindak ‘untuk transaksi tanah’. Jika ‘transaksi tanah’ itu adalah penjualan 2,200 ekar tanah daripada syarikat pemilik kepada pemaju berwibawa, kedua-dua pihak, mempunyai peguam mereka sendiri. Firma saya hanya bertindak mewakili 980 peneroka atas pemintaan peneroka sendiri bagi melindungi kepentingan mereka.

Tanggungjawab firma saya, antaranya, adalah menerima sejumlah pampasan yang belum dibayar kepada peneroka dan memastikan setiap peneroka mendapat pampasan mereka. Ia telah selesai dilaksanakan. Tugas kami juga adalah memastikan hak milik rumah peneroka dilindungi menerusi perjanjian bertulis antara setiap peneroka dengan pemaju berwibawa. Ia juga telah diselesaikan.

Saya akan mendapatkan pandangan dan nasihat undang-undang berhubung tuduhan yang dilemparkan See-To dan Faekah dalam kenyataan mereka berdua itu.

Kita tahu bahawa Umno dan proksi seperti See-To, Faekah dan lain-lain akan meneruskan tindakan terdesak menyerang Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Negeri Selangor kerana menyelesaikan masalah peneroka Ijok yang sudah berlanjutan selama 20 tahun. Saya tetap yakin bahawa 980 peneroka dan keluarga mereka mengetahui siapa punca masalah penderitaan mereka dan siapa yang menyelesaikannya. Propaganda dan laporan berita palsu daripada UMNO tidak boleh mengubah hakikat yang sebenar.

 

*Sivarasa Rasiah adalah Ahli Parlimen Subang dan juga peguam kepada 980 peneroka Projek Rancangan Revolusi Hijau Fasa 2 dan 3, Alam Mutiara dan Alam Utama.

COMMENTS

Wordpress (0)