Malaysia Dateline

Tanah runtuh Batang Kali: Sultan Selangor, Permaisuri hargai pihak terlibat SAR, harap terus bersemangat

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan harapan agar semua pihak yang terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh, terus bersemangat dan bersatu hati.

Baginda berdua turut berharap agar semua pihak diberikan segala kemudahan fizikal dan mental untuk menyelesaikan operasi dengan sempurna.

Titah Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri lagi, Baginda berdua amat menghargai usaha dan kesungguhan semua pihak.

Baginda berdua turut khuatir apabila diberitahu bahawa ada anggota yang cedera, sakit dan berdepan cabaran getir sepanjang operasi ini berjalan.

“Baginda bimbang keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini juga akan menyukarkan lagi usaha-usaha SAR yang sedang giat dilaksanakan sejak 16 Disember lalu.

“Baginda bangga dengan kesiapsiagaan yang ditunjukkan dan sinergi pelaksanaan terbaik oleh setiap agensi yang terlibat sejak hari pertama.

“Lima agensi penyelamat yang terbabit dalam operasi SAR ini adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor,” demikian kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.

Menurut kenyataan itu lagi, Baginda turut mendoakan agar pengorbanan mulia anggota-anggota penyelamat ini dalam melaksanakan tugas masing-masing dengan bersungguh-sungguh, akan dikurniakan ganjaran setimpal oleh Allah.

Dalam kejadian sekitar jam 2.42 pagi Jumaat lalu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter menimpa tapak perkhemahan yang terletak di Jalan Genting-Batang Kali itu.

Bagaimanapun, setakat jam 4 petang tadi, sembilan mangsa masih lagi hilang, manakala 24 lagi terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa terbabit dalam kejadian berkenaan.