Malaysia Dateline

Tanah runtuh Tanjong Bungah: 4 mayat berjaya ditemui awal pagi tadi

Susulan kejadian tanah runtuh di tapak binaan tembok penahan tanah di Lost Paradise Resort di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) empat mangsa runtuhan itu ditamatkan selepas mayat terakhir ditemui berhampiran mangsa lain pada jam 3.35 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, keempat-empat mangsa berjaya dikeluarkan selepas hampir enam jam tertimbus didalam longkang yang dipenuhi besi cerucuk.

Katanya mayat pertama berjaya dikeluarkan pada jam 1.59 pagi disusuli mayat kedua pada jam 2.33 pagi dan mayat ketiga pada jam 3.10 pagi.

Kesemua mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang ( HPP) untuk bedah siasat.

Beliau berkata , setakat pagi ini, identiti kesemua mangsa belum dapat dikenalpasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.

Bagaimanapun, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak kedutaan berhubung identiti mangsa.

“Proses mencari ini ditamatkan selepas kita menemui semua mangsa yang terlibat dan malang sekali mangsa yang kita jumpa ini tidak mempunyai sebarang dokumen yang positif untuk dikenalpasti identiti mereka, walau bagaimanapun kita akan merujuk ke kedutaan bagi mendapatkan butiran lanjut dan bantuan melalui cap jari yang kita kesan daripada mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi pagi ini seperti dipetik Astroawani.

Dalam pada itu, Che Zaimani berkata, tiga mayat ditemui dalam keadaan berdiri dan masih memegang besi cerucuk manakala seorang lagi ditemukan terbaring berdekatan tiga mangsa berkenaan.