BN luluskan fasa kedua bina PPR  di tanah Taman Manggis, dakwa Gerakan

BN luluskan fasa kedua bina PPR di tanah Taman Manggis, dakwa Gerakan

 

Tanah Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin di sini dikatakan telah dilulus untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) fasa kedua oleh kerajaan negeri Pulau Pinang semasa di bawah pimpinan Barisan Nasional dahulu.

Setiausaha Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata perkara itu terkandung dalam memo yang diserah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu oleh Pengarah Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Julai 2003.

Fasa pertama sebanyak 320 unit rumah telah disiapkan manakala fasa kedua membabitkan 272 unit rumah belum dilaksanakan, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, Oh mendakwa selepas DAP mengambil alih tampuk kepimpinan negeri, tanah seluas 0.45 hektar itu dijual kepada syarikat swasta untuk pembinaan bangunan setinggi 30 tingkat yang mengandungi 19 tingkat hotel, enam tingkat hospital swasta dan lima tingkat tempat letak kereta.

Beliau berkata kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya meneruskan projek perumahan rakyat oleh Barisan Nasional itu kerana memberi manfaat kepada penduduk negeri ini terutama golongan yang memerlukan.

“Mereka ada kuasa sepatutnya teruskan sahaja projek ini. Mana yang baik untuk rakyat mereka tak kekalkan kemudian kata kami (Barisan Nasional) tidak buat itu dan ini,” katanya.

Ditanya mengapa fasa kedua itu tidak dibina sekali dengan fasa pertama, Oh berkata ketika itu sudah hampir pilihan raya umum dan kerajaan negeri bercadang membina selepas pilihan raya umum itu.

Isu tanah Taman Manggis, di sini kembali mendapat perhatian apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada Dewan Rakyat Khamis lepas meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat penjualan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang, yang pada asalnya dikatakan diperuntukkan bagi pembinaan rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

TAGS